top of page

Pembelian 30 pesawat Boeing strategi perniagaan MAG, tidak guna dana awam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 6
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Komitmen Malaysia untuk membeli 30 pesawat Boeing dari Amerika Syarikat (AS) bukan keputusan politik atau tunduk kepada kuasa asing, sebaliknya merupakan langkah strategik Malaysia Aviation Group (MAG) yang telah dirancang sejak 2022 di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang (LTBP).


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin (gambar) berkata, pelan itu bertujuan memodenkan armada Malaysia Airlines yang kini masih menggunakan pesawat lama dan kurang efisien, sekali gus menjejaskan daya saing dengan syarikat penerbangan utama lain seperti Emirates, Qatar Airways dan Singapore Airlines.


''Tanpa pemodenan ini, Malaysia Airlines berisiko terus ketinggalan dan gagal memenuhi jangkaan penumpang antarabangsa.


''Tuduhan bahawa pembelian ini melibatkan wang rakyat adalah tidak berasas dan mengelirukan.


''MAG merupakan entiti komersial yang tidak menerima pembiayaan secara langsung daripada bajet kerajaan,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau diminta mengulas mengenai isu berkenaan yang turut dikaitkan kononnya Malaysia mengikut telunjuk AS menempah pesawat baharu demi untuk mengurangkan tarif yang dikenakan kepada negara ini sebanyak 25% pada peringkat awal.


Mengulas lanjut beliau berkata, malangnya, terdapat segelintir pihak pembangkang yang memilih untuk mempolitikkan isu berkenaan secara tanpa fakta yang jelas.


''Mereka menyebarkan naratif kononnya Malaysia telah 'diperangkap' oleh AS atau tunduk kepada tekanan geopolitik semata-mata kerana pembelian ini melibatkan Boeing.


''Pandangan seperti itu menunjukkan betapa cetek dan emosionalnya pemikiran mereka dalam mentafsir keputusan perniagaan antarabangsa yang kompleks,'' katanya.


Tegas Bryan Ng, pembangkang seolah-olah gagal memahami bahawa dalam dunia perdagangan global, urus niaga seperti itu merupakan lumrah dan perlu dilihat sebagai strategi diplomatik dan ekonomi jangka panjang.


''Jika pendekatan sempit (tidak mahu kepada imbangan dagang) seperti ini dibenarkan mempengaruhi dasar negara, ia akan memberi kesan buruk kepada hubungan perdagangan dua hala, keyakinan pelabur antarabangsa dan kestabilan ekonomi negara.

''Negara-negara lain seperti India, Turkiye dan Indonesia juga menandatangani kontrak besar dengan Boeing dan Airbus tanpa menjejaskan maruah atau kedaulatan negara mereka.


''Apa yang dipamerkan pembangkang dalam isu ini adalah mereka tidak mempunyai kematangan diplomatik, kecekapan ekonomi atau pandangan strategik yang diperlukan bagi mentadbir sebuah negara perdagangan seperti Malaysia,'' bidas beliau lagi.


Pada 2 Ogos lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, rancangan pembelian pesawat berkenaan telah diumumkan seawal Mac lalu, sebelum Presiden, Donald Trump mengumumkan tarif 25%.


Tegas Tengku Zafrul, pembelian pesawat itu dibiayai menggunakan dana syarikat dan bukan wang cukai daripada rakyat, malah tindakan AS mengenakan tarif adalah sebahagiannya disebabkan oleh defisit dagangan AS - Malaysia manakala pembelian tersebut dimasukan dalam daftar imbangan dagang dengan kebijaksanaan perunding Malaysia, biarpun tempahan telah dilakukan lebih awal.


Untuk rekod di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang MAG syarikat itu memerlukan pesawat baharu bagi bersaing dengan syarikat penerbangan jarak jauh yang lain. Syarikat penerbangan jarak jauh pada waktu ini menawarkan pelbagai kemudahan siaran hiburan dan maklumat yang menarik sewaktu di dalam penerbangan selama beberapa jam. Sedangkan armada pesawat MAG masih model lama dan malah tidak menjimatkan bahan bakar.


Satu lagi faktor, MAG berjaya mencatat Net Operating Profit yang pertama pada tahun 2022 sebanyak RM556 juta. Walaupun secara keseluruhan syarikat masih rugi, namun ianya satu perkembangan yang baik sejak 2010 dan membolehkan pengembangan perniagaan dilakukan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page