Pembebasan segera sukarelawan M'sia: Diplomasi PMX berhasil cemerlang
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Pembebasan 23 sukarelawan Malaysia di bawah misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Israel tiga hari lalu dilaporkan sebagai antara penyelesaian tahanan di perairan antarabangsa yang paling pantas berbanding peserta dari negara lain.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, langkah pantas pembebasan dari 'penculikan' zionis itu adalah hasil daripada kecekapan diplomasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang berjaya menggerakkan saluran hubungan serentak dengan negara-negara Arab, Turkiye serta Amerika Syarikat dalam menangani isu tersebut.
"Dengan kebijaksanaan, PMX berjaya menunjukkan kepada dunia ada cara untuk memberi tekanan kepada Amerika Syarikat.
"Episod pembebasan yang berlaku ini merupakan suatu pengajaran yang berharga dan Malaysia telah berjaya menunjukkan contoh bahawa kalau disekat (misi bantuan), masih ada lagi cara," kata Azmi ketika dihubungi Suara Keadilan.
Difahamkan, rakyat Malaysia hanya ditahan selama dua hari sebelum dibebaskan tanpa melalui sesi soal siasat intensif atau penahanan panjang seperti yang lazim dikenakan terhadap aktivis negara lain.
Portal media BBC memetik rejim Israel, Tel Aviv mengusir 137 lagi aktivis apabila flotila yang cuba menghantar bantuan ke Gaza dipintas awal minggu ini.
Mereka yang diusir merupakan warganegara United Kingdom, Amerika Syarikat, Itali, Jordan, Kuwait, Libya, Algeria, Mauritania, Malaysia, Bahrain, Maghribi, Switzerland, Tunisia dan Turkiye.
Rejim Tel Aviv dilaporkan telah menahan kira-kira 470 individu selepas puluhan kapal daripada Global Sumud Flotilla dihalang oleh Israel daripada memasuki perairan Gaza.
Dalam pada itu, kata Azmi yang berperanan sejak berbelas tahun lalu mengumpul bantuan ke Palestin, keberkesanan pendekatan diplomasi seimbang PMX yang tidak berpaksikan konfrontasi dengan menggunakan jaringan antarabangsa untuk menyelamatkan rakyat melalui cara yang berhemah amat membanggakan.
Tambah beliau, pembebasan pantas itu sebagai kejayaan besar diplomasi dan sekaligus memperlihatkan keyakinan dunia terhadap peranan aktif negara ini dalam isu kemanusiaan antarabangsa.
"Malaysia telah menunjukkan ketegasannya dan mendorong semakin banyak negara untuk memberanikan diri.
"Yang penting kita jangan membisu dan menunggu," ujarnya lanjut.
Sebelum ini, laskar siber pembangkang mendesak kerajaan Malaysia memutuskan hubungan dengan AS sebaik sahaja sukarelawan Malaysia ditahan Israel.
Dengan pembebasan segera ini PMX menunjukkan kepada semua bahawa diplomasi dengan kuasa besar lebih bermakna berbanding desakan memutuskan hubungan.