Oleh: Abdullah Zaid
Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abd Halim menzahirkan rasa terkejut apabila kontroversi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) dibangkitkan oleh pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.
Menyifatkan isu tersebut bukanlah berkepentingan awam, Adam Adli menegaskan KBS telah mengendalikannya dengan sebaiknya. Mana mana Ahli Parlimen yang ingin mengeahui lebih lanjut, katanya, boleh bertemu beliau untuk diberi penerangan.
"Untuk pengetahuan hari ini di bangunan Parlimen, kalau saya nak jemput Masjid Tanah pun boleh. Yang dimaksudkan itu pun akan datang ke sini untuk pertemuan dengan saya tiada masalah.
"Kalau mana-mana Arau sekalipun yang telah membangkitkan semalam nak datang jumpa, boleh. Nak selfie, buat video pun tiada masalah," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Mas Ermieyati (PN-Masjid Tanah) mengenai isu pembatalan Ikon Influencer APBN Peringkat Kebangsaan 2023.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut meminta isu berkenaan tidak perlu disensasikan sebaliknya menyeru ia boleh dirungkaikan dengan pertemuan yang bersifat matang.
"KBS telah keluarkan kenyataan media untuk jawab berkaitan penularan isu tersebut. Jadi saya harap pada mana-mana pihak menganggap ini sebagai satu bentuk penganiayaan, ia bukan tujuan APBN diadakan.
"APBN bertujuan mengiktiraf golongan belia yang mencapai satu kejayaan yang sangat besar.
"Malang bagi kita ada lebih 12 penerima anugerah termasuk mereka memenangi pingat emas dalam Sukan Asia tidak diberi perhatian kerana terbawa-bawa isu sensasi yang sedang berlaku terhadap satu dua individu," katanya lagi.
Terdahulu, tular mengenai luahan Zhiddin Aziz di Tiktok yang melahirkan rasa kesal atas apa yang didakwa pembatalan kemenangannya bagi menerima anugerah dalam majlis yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Adam Adli.
Justeru, sekretariat APBN dilaporkan berkata, Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN sebulat suara memutuskan tiada pemenang bagi dua kategori iaitu Ikon Belia Influencer (Media Sosial) dan Ikon Belia Sanjungan Budi kerana tiada calon yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Comentarios