Pembangunan tak bergantung 'warna baju', rakyat nilai berasaskan prestasi
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 3 min read

Pembangunan Negeri Sembilan tidak bergantung kepada parti atau "warna baju" yang dipilih rakyat sebaliknya ditentukan oleh dasar yang jelas, kepimpinan berwibawa dan keupayaan melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat, demikian menurut Pengarah Polisi DAP Kebangsaan, Datuk Chan Foong Hin (gambar).
Beliau berkata kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid yang meminta rakyat tidak lagi memakai 'baju merah' sebaliknya mengenakan 'baju biru' seolah-olah memperkecilkan kebijaksanaan rakyat dalam menilai prestasi pencapaian Kerajaan Negeri.
"Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Pengerusi BN yang menyatakan bahawa jika mahu pembangunan, rakyat Negeri Sembilan perlu "jangan lagi pakai baju merah, pakailah baju biru".
"Kenyataan sedemikian bukan sahaja tidak menggambarkan realiti pentadbiran negara, malah seolah-olah memperkecilkan kebijaksanaan rakyat yang mampu menilai prestasi berdasarkan rekod pencapaian, bukannya warna parti," katanya dalam hantaran di media sosial.
Foong Hin yang juga Ahli Jawatankuasa Manifesto PH berkata, hakikatnya pembangunan sesebuah negeri hanya dapat direalisasikan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, selain disokong oleh perancangan yang tersusun serta komitmen politik yang konsisten.
"Kita semua berada dalam Kerajaan Perpaduan. Semua pemimpin kerajaan sedia maklum bahawa pembangunan tidak datang hanya kerana sesebuah parti memenangi pilihanraya.
"Pembangunan berlaku apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai hubungan kerjasama yang erat, perancangan yang tersusun, dasar yang konsisten serta komitmen politik untuk merealisasikan projek-projek yang telah dirancang," katanya.
Mengulas manifesto PH Negeri Sembilan, beliau berkata gabungan itu menawarkan pelan pembangunan yang jelas dengan menjadikan negeri berkenaan sebagai Central Corridor atau Pusat Koridor Pembangunan Harapan Malaysia.
Jelas beliau, visi tersebut disokong menerusi 10 Komitmen Utama serta lima projek berimpak tinggi yang dirancang bersama Kerajaan Persekutuan sekiranya PH terus diberi mandat mentadbir negeri.
Antara projek yang digariskan ialah pembangunan Seremban Sentral dan peningkatan kekerapan perkhidmatan Komuter Seremban-Kuala Lumpur, pembinaan Hospital Baharu Bandar Enstek, pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Baharu Port Dickson, pembinaan Rumah Kedua di lot kediaman FELDA serta pembinaan Landasan Bypass Senawang-Port Klang.
Menurutnya, tiga daripada lima projek berkenaan memberi tumpuan kepada sektor pengangkutan dan logistik kerana aspek itu menjadi antara pertimbangan utama pelabur sebelum membuat keputusan melabur.
"Tiada pelabur akan datang hanya kerana mendengar ceramah politik. Mereka datang kerana adanya jaringan rel yang cekap, jalan raya yang baik, pelabuhan yang moden dan dasar kerajaan yang memberi keyakinan kepada dunia perniagaan," katanya.
Foong Hin berkata pendekatan tersebut berbeza dengan politik yang hanya menumpukan kepada persepsi semata-mata.
"Inilah bezanya politik yang menawarkan penyelesaian dengan politik yang hanya bermain persepsi. Pakatan Harapan memilih untuk bercakap tentang projek, pelaburan dan masa depan ekonomi negeri, bukannya menjadikan warna baju sebagai ukuran pembangunan," katanya.
Beliau turut menyifatkan pelbagai projek pengangkutan yang sedang dilaksanakan di bawah Kementerian Pengangkutan membuktikan bahawa pembangunan bergantung kepada dasar dan keupayaan pentadbiran, bukannya retorik politik.
Katanya, selepas Setiausaha Agung DAP Anthony Loke diberi kepercayaan menerajui kementerian itu sebanyak dua penggal, pelbagai projek pengangkutan yang sekian lama tertangguh mula digerakkan bagi memperkukuh hubungan rel, jalan raya dan pengangkutan awam.
Menurut Foon Hin lagi, langkah itu membuka ruang lebih besar untuk menarik pelaburan baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan di Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata pilihan raya seharusnya menjadi medan rakyat menilai rekod pencapaian dan pelan pembangunan yang ditawarkan setiap parti.
"Pilihan raya ini bukan pertandingan menentukan warna siapa lebih hebat. Ia adalah pilihan antara pemimpin dan parti yang mampu membawa pelan pembangunan yang boleh dilaksanakan," ujarnya.
Katanya rakyat Negeri Sembilan berhak memilih berdasarkan rekod pencapaian dan hala tuju masa depan, bukannya retorik yang tidak membawa sebarang nilai kepada pembangunan negeri.
"Jika Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terus bergerak sehaluan di bawah kepimpinan Pakatan Harapan, saya yakin projek-projek strategik yang telah dirancang dapat direalisasikan dengan lebih cepat demi kemajuan Negeri Sembilan dan kesejahteraan seluruh rakyatnya," ujar beliau.




Comments