Pembangunan sukan akar umbi, cari bakat baharu perlu disokong - Zaidi
- Suara Keadilan
- Jun 19
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ketua Cabang KEADILAN Kota Marudu, Zaidi Jatil menyeru semua pihak agar menyokong penuh pembangunan sukan akar umbi bukan sekadar untuk menjulang piala dan menerima kalungan pingat, tetapi demi masa depan anak-anak yang lebih gemilang.
Seruan tersebut disampaikan dalam ucapan perasmian Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) kali ke-51 yang diadakan di SMK Bandau baru baru ini yang memperlihatkan bakat-bakat muda beraksi dalam acara sukan dipertandingkan.
Katanya, beliau amat kagum dengan prestasi sukan di daerah tersebut walaupun fasiliti yang ada masih kurang memuaskan, namun pelajar tetap mampu menunjukkan daya saing yang tinggi.
''Tahun 2024 Daerah Kota Marudu menduduki tempat ke-5 dalam Sukan Sekolah Peringkat Negeri Sabah.
''Saya yakin dengan semangat yang ada hari ini, Kota Marudu mampu melahirkan atlet untuk negeri dan negara.
''Namun, ini tidak boleh dicapai dengan semangat sehari dua dan ia memerlukan perancangan berterusan seperti pelaburan dalam kemudahan sukan, komitmen semua pihak termasuk guru, ibu bapa, pemimpin masyarakat dan juga pihak kerajaan,'' katanya.
Dalam temasya sukan itu, Zaidi yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN Sabah turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM7,000 kepada Kontinjen Kota Marudu.

''Semoga sumbangan ini dapat mempermudahkan urusan para guru dan atlet dalam persiapan ke peringkat negeri minggu hadapan.
''Saya menyeru agar sektor pendidikan Kota Marudu terus memberi keutamaan kepada pembangunan sukan, bukan sebagai aktiviti sampingan, tetapi sebahagian daripada pembinaan modal insan yang holistik,'' ujarnya lagi.
Turut hadir dalam kejohanan itu adalah Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kota Marudu, Datuk Seri George Rumunsai; Naib Ketua Cabang KEADILAN Kota Marudu, Alfie Mohd Khanafi; Penyelaras DUN Tandek, Hasnal Majuning; Ketua AMK Cabang Kota Marudu, Mohd Hisyam Ali Hassan dan Setiausaha Cabang Kota Marudu, Rozianna Pius.
Selain itu, Ahli Jawatankuasa KEADILAN Cabang Kota Marudu seperti Marmoh Kasman, Datu Sainuddin Datu Hussin, Ali Hassan Ismail, Amitshah dan Nazzir Jamuan turut hadir.
Comments