top of page

Pembangunan seimbang, bukan hanya projek mega, bela rakyat marhaen

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 59 minutes ago
  • 2 min read
DS Anwar berucap di program Kempas Youth Night. Foto: FB Anwar
DS Anwar berucap di program Kempas Youth Night. Foto: FB Anwar

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pendekatan Kerajaan MADANI bukan sekadar menumpukan kepada projek-projek mega, sebaliknya memastikan pembangunan yang dilaksanakan turut memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar.


Beliau berkata, kerajaan tetap meneruskan pelbagai projek berimpak tinggi seperti pembinaan sistem Rapid Transit System (RTS) serta pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.


Namun menurutnya, pembangunan negara tidak boleh hanya diukur melalui projek bernilai berbilion ringgit semata-mata.


"Kita buat projek besar seperti RTS, ART dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura kerana ia penting untuk pertumbuhan ekonomi.


"Tetapi pembangunan juga mesti seimbang. Kita tidak boleh hanya melihat bangunan tinggi, hotel lima atau tujuh bintang, sedangkan rakyat kecil masih berdepan pelbagai masalah asas," katanya ketika berucap pada program Kempas Youth Night, malam tadi.


Beliau turut mengimbau tindakan kerajaan pada awal pentadbirannya yang memberi keutamaan kepada pembaikan tandas sekolah di seluruh negara selepas mendapati banyak kemudahan tersebut berada dalam keadaan uzur.


"Saya berbincang dengan Menteri Pendidikan dan saya kata, memang pendidikan penting, tetapi tandas sekolah yang rosak juga mesti diselesaikan.


"Hampir setiap sekolah ada tandas yang rosak, malah ada sekolah yang lapan daripada 10 tandas tidak boleh digunakan. Sebab itu kerajaan memperuntukkan dana untuk membaiki kemudahan tersebut," katanya.


Dalam pada itu, Anwar menegaskan setiap kejayaan kerajaan adalah hasil usaha bersama seluruh pasukan pentadbiran dan sokongan rakyat, bukannya kejayaan individu dan pelaksanaan projek-projek besar negara melibatkan kerjasama semua kementerian dan agensi.


"Saya tidak pernah menganggap semua kejayaan ini hasil seorang individu. Kita berjaya kerana ada pasukan yang bekerja keras dan kerana sokongan rakyat.


"Kita menang bukan kerana kita paling hebat, tetapi kerana rakyat memberikan kepercayaan kepada kita," katanya.


Mengulas mengenai proses demokrasi negara, Anwar menegaskan kerajaan komited memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus menjalankan tanggungjawab secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak.


"Kita sudah beritahu SPR supaya menjalankan tugas dengan bebas dan mengikut undang-undang. Suruhanjaya itu mesti kekal bebas kerana itulah asas kepada demokrasi yang dihormati," katanya.


Beliau berkata, cita-cita terbesar yang ingin ditinggalkan selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Perdana Menteri ialah melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang maju, dihormati dunia dan berjaya meningkatkan taraf hidup seluruh rakyat.


"Saya mahu apabila meninggalkan jawatan nanti, Malaysia menjadi sebuah negara hebat dan rakyatnya hidup dengan lebih bermaruah serta menikmati kemakmuran yang dikongsi bersama," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page