Pembangunan NSIP di Sepang lonjak peluang pekerjaan berkualiti tinggi - MB
- Suara Keadilan
- Apr 5, 2024
- 2 min read

Peluang pekerjaan berkualiti tinggi bagi warga Selangor terutamanya generasi muda bakal meningkat lebih pantas melalui pembangunan NCT Smart Industrial Park (NSIP), Sepang, projek pertama Pembangunan Wilayah Bersepadu Selatan SElangor (IDRISS).
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata NSIP meliputi kawasan seluas 700 ekar yang akan dibangunkan dalam tiga fasa dan merupakan taman industri terutus pertama di Malaysia yang menggunakan tenaga solar di atas bumbung bangunan serta sumber tenaga boleh diperbaharui.
"NSIP juga terangkum dengan sistem terusan yang boleh berfungsi sebagai sistem pencegahan banjir di dalam kawasan perindustrian.
"Ini membolehkan NSIP diberi pengiktirafan sebagai kawasan perindustrian GreenRE yang berkonsepkan mampan selaras dengan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40% menjelang tahun 2035," katanya dalam hantaran di Facebook selepas melancarkan galeri jualan NSIP semalam.
IDRISS merupakan satu antara tiga wilayah ekonomi baharu yang dibuka di Selangor selain Sabak Bernam Development Area (SABDA) dan Selangor Maritime Gateway (SMG) di sepanjang jajaran Sungai Klang yang diumumkan dalam Rancangan Selangor Satu.
Amirudin berkata kerajaan negeri memberikan jaminan bahawa infrastruktur utama seperti jalan yang menghubungkan Jalan Pekeliling ke Jalan Sanitary Landfill yang merupakan jalan utama untuk memasuki kawasan perindustrian baharu itu akan disiapkan.
"Saya akan mengarahkan Jabatan Kerja Raya dan Pihak Berkuasa Tempatan supaya tidak melengahkan lagi infrastruktur kritikal ini. Penting untuk infratruktur asas disiapkan dengan segera dan berkualiti supaya memberi keyakinan kepada pelabur tempatan dan antarabangsa bahawa Selangor mampu menjadi pilihan utama untuk mereka bertapak di Malaysia," ujarnya.
Jelas beliau infrastuktur tersebut juga penting supaya dapat menghubungkan kawasan perindustrian berkenaan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur supaya mengurangkan jarak dan tempoh ulang alik dari tapak pembuatan ke lapangan terbang supaya ekosistem logistik negara diperkukuhkan.
Katanya pembangunan NSIP diyakini akan memberikan limpahan pembangunan positif untuk mempercepatkan pembangunan kawasan IDRISS.
Comments