Pembangunan Kg Sg Baru: Sebahagian penduduk mahu rundingan semula
- Redzuan Shamsudin
- Jan 30, 2023
- 2 min read

Pembangunan semula flat dan rumah teres Kg Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur mungkin akan dirunding semula selepas Perdana Menteri campurtangan menghentikan arahan pengosongan rumah oleh Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur pada pertengahan Januari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kampung Sungai Baru (JK Bertindak), Lily Suzana Kudari, bersesuaian dengan hasrat PM yang mahukan rundingan diteruskan dengan pihak pemaju maka penduduk bersedia untuk masuk ke fasa seterusnya.
"Selepas lebih setahun isu diperjuangkan, akhirnya Perdana Menteri memberikan perhatian khusus serta ketersediaan untuk campurtangan dalam permasalahan yang ditanggung pihak penduduk yang telah menerima Notis Borang-K daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG) yang mengarahkan penduduk untuk mengosongkan rumah-rumah yang terlibat dalam tempoh 30 hari," katanya seraya mengucapkan terima kasih kepada PM yang prihatin dengan nasib penduduk, dalam sidang media semalam.
Menurut beliau, arahan penangguhan oleh Perdana Menteri itu bertujuan membuka ruang kepada pihak pemaju dan pemilik meneruskan rundingan bagi mencapai situasi menang-menang kepada semua pihak.
Pihak pemilik, katanya, komited untuk bersikap terbuka dan bersedia berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak.
"Pihak JK Bertindak juga berharap pemaju tidak mempergunakan pemilik-pemilik rumah flat yang bersetuju dan telah berpindah dengan melibatkan mereka untuk memberikan tekanan kepada pihak pemilik lain yang tidak bersetuju.
"Kerajaan boleh mendesak pemaju untuk membina pangsapuri yang dijanjikan kepada pemilik flat yang telah bersetuju di atas Tapak Plot 1 yang berkeluasan sekitar 3 ekar terletak di atas tanah rumah flat yang tidak melibatkan tanah rumah teres.
"Dalam tempoh pembangunan pangsapuri tersebut, perbincangan serta rundingan antara pemaju bersama pemilik yang tidak bersetuju boleh diteruskan tanpa memberi kesan kepada pemilik-pemilik yang telah berpindah," katanya.
Beliau juga mencadangkan agar pemilik-pemilik yang telah bersetuju dengan pemaju untuk berbincang dengan lebih jelas berkaitan kos penyelenggaraan yang bakal ditanggung oleh mereka kelak.
Selain itu, JK Bertindak juga semalam telah menyerahkan memorandum cadangan penyelesaian isu pengambilan tanah penduduk kepada Khalid Samad, Mantan Menteri Wilayah Persekutuan untuk disampaikan kepada Perdana Menteri selain berharap agar Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Kampong Bharu (PKB) untuk lebih prihatin dengan nasib penduduk di kawasan tersebut.
Comments