'Pembangkang tiada idea bantu rakyat, hanya main politik sempit'
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Pas didakwa sengaja mencetuskan ketakutan dan kekeliruan rakyat terhadap cadangan pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) oleh kerajaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid berkata, dakwaan Pemuda Pas kononnya akta tersebut membuka laluan pemindahan hak milik tanah bumiputera merupakan tuduhan tidak berasas dan bermotif politik sempit.
Tegasnya, akta yang dirangka sejak 2012 itu bukan sahaja bertujuan mewujudkan pembangunan bandar secara sistematik, adil dan inklusif malah bertujuan melindungi kepentingan pemilik asal hartanah termasuk tanah rizab Melayu.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri juga telah memberi jaminan status tanah rizab Melayu tidak akan terjejas, sekali gus menolak dakwaan kononnya PSB membuka laluan kepada pemindahan hak milik kepada bukan bumiputera.
"Malangnya, Pemuda Pas memilih untuk menunggang isu ini bagi menimbulkan keresahan rakyat," katanya dipetik dalam satu kenyataan.
Pemuda Pas menerusi satu kenyataan di Facebook mendakwa akta tersebut akan menjadi dasar yang hanya memberi keuntungan kepada golongan elit dan pemaju, sementara mengabaikan nasib orang Melayu dan B40 di bandar.
Mereka turut menuduh akta ini memberi ancaman gentrifikasi yang boleh menyebabkan golongan penduduk asal terpaksa berpindah akibat peningkatan harga rumah.
Untuk rekod, kerajaan telah memberi jaminan hak pemilik kediaman akan dipertahankan. Berdasarkan prinsip “one-to-one” atau “not less favourable” pemilik akan menerima unit kediaman baharu yang dibangunkan semula yang lebih baik daripada asal.
Sementara itu Danial Al-Rashid yang juga Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, pengubalan akta tersebut adalah langkah penting membuka ruang kepada generasi muda memiliki rumah selesa dan mampu milik terutama kawasan strategik bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Berbanding pelbagai usaha yang diusahakan kerajaan, Pemuda Pas tegasnya hanya pandai mengkritik tanpa membawa sebarang cadangan bagi membantu rakyat.
"Anak muda di bandar dibelenggu masalah harga rumah yang mahal, projek terbengkalai dan isu penyelenggaraan kawasan usang.
"Di mana solusi mereka (Pemuda Pas) ? Tidak ada. Mereka hanya mainkan sentimen perkauman tanpa menawarkan sebarang pelan jangka panjang seperti yang mahu dilakukan menerusi PSB," tegasnya.