'Pembangkang tahu PSB baik, Melayu terancam hanya retorik politik'
- Suara Keadilan
- Mar 15
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Madani disaran terus konsisten melakukan penambahbaikan dalam pemerintahan seperti penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) demi memberi manfaat kepada rakyat.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Nabil Halimi berkata, sebaliknya jika naratif perkauman yang dicetuskan pembangkang Perikatan Nasional terus dilayan negara akan sukar untuk maju.
"Tugas penerangan kita harus memberi penjelasan dan merasionalkan masyarakat agar melihat isu ini (Akta PSB) lebih luas daripada landskap perkauman.
"Pada pandangan saya PN tahu akan kebaikan akta ini. Pada 2021, (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Zuraida Kamaruddin memulakan penggubalan RUU PSB.
"Di mana suara parti Pas dan Bersatu yang melawan akta ini (pada waktu itu)? Mereka sanggup melakukan apa sahaja (sekarang) untuk memainkan naratif Melayu terancam," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai faedah yang bakal diterima rakyat selepas akta itu dikuatkuasa, dan bukannya seperti apa yang digembar-gemburkan pembangkang bahawa orang Melayu akan diusir dari hartanah mereka di bandar.
Mengulas mengenai nilai ambang persetujuan, Nabil berpandangan, sekiranya 80 peratus penduduk sudah sanggup berpindah ke tempat kemudahan dengan lebih baik, sudah pasti mereka sudah pun mengambil kira segala hal sebelum membuat keputusan.
"Siapa kita hendak menghalang mereka yang menginginkan kehidupan yang lebih baik walaupun perbelanjaan harus ditambah sedikit.
"Bagaimana dengan 20 peratus tidak menyokong? Maka jawapan saya layakkah 80 peratus penduduk yang mahukan kehidupan lebih baik, terpaksa pula akur dengan jumlah kecil yang tidak mahu," kata beliau lagi.
Untuk rekod, pembangkang memainkan isu nilai ambang suara menyokong yang diturunkan kepada 75 - 80% dianggap sebagai percubaan mengusir secara halus orang Melayu pemilik rumah pangsa usang di kota besar terutamanya Kuala Lumpur.
Sementara kerajaan berhujah PSB akan mengawal dan memastikan pemilik rumah pangsa usang akan diberi nilai kediaman yang lebih tinggi berbanding nilai semasa dan pemaju perlu akur kepada akta itu.
Comments