PN main naratif 'politik takhta' sengaja adu domba KEADILAN
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Mohd Azuan Ab Rahman
Kenyataan Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Selangor, Dr Afif Bahardin yang melabel pencalonan Nurul Izzah Anwar pada pemilihan KEADILAN sebagai bentuk ‘politik takhta’ disifatkan sebagai dangkal dan tidak bertanggungjawab.
Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad menegaskan, kenyataan dilemparkan itu adalah percubaan terdesak untuk meremehkan kelayakan Nurul Izzah semata-mata kerana hubungan kekeluargaan beliau dengan Perdana Menteri.
"Ia kenyataan terdesak untuk memanipulasi persepsi rakyat dan memperkecilkan hakikat perjuangan tokoh dikenali sebagai Puteri Reformasi ini
"Hanya kerana beliau anak kepada Perdana Menteri, maka kelayakan beliau dipertikaikan? Apakah darah daging reformis perlu dihukum hanya kerana lahir dalam keluarga pejuang?" soal Saifuddin menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Pengarah Strategi KEADILAN Selangor menegaskan, sebarang tindakan yang mempersoal kelayakan Nurul Izzah atas dasar latar belakang keluarganya merupakan satu bentuk diskriminasi politik halus yang gagal menilai individu berdasarkan prestasi dan prinsip perjuangan mereka.
Terdahulu, Dr Afif yang menyertai parti Bersatu selepas meninggalkan KEADILAN pada 2020 mengulas pencalonan Nurul Izzah untuk jawatan Timbalan Presiden dengan berkata, politik ialah platform kepercayaan orang ramai dan bukan arena untuk takhta yang diwarisi dengan nama keluarga.
Saifuddin bagaimanapun membalas kenyataan itu dengan berkata, Nurul Izzah telah membuktikan keupayaannya dalam politik secara berdikari sejak awal era Reformasi lagi.
"Beliau tidak berdiri atas bayang-bayang sesiapa tetapi atas kekuatan dan integritinya sendiri yang telah lama terbukti.
"Beliau bekerja keras di lapangan politik dan memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai yang bukanlah kerusi selamat atau warisan - tetapi salah satu yang paling sengit, dan beliau menanganinya dengan penuh jujur.
"Beliau tidak pernah lompat parti, tidak bersekongkol dalam politik oportunis, dan tidak menikam belakang kawan," tambah Saifuddin.
Justeru tambahnya, pencalonan Nurul Izzah pada proses pemilihan kali ini ialah manifestasi demokrasi matang yang diamalkan dalam KEADILAN – sebuah parti yang memberi ruang kepada semua ahli yang layak untuk bertanding secara terbuka dan telus.
Nurul Izzah sendiri disifatkan sebagai seorang pemimpin yang mampu mengimbangi idealisme dengan realiti pentadbiran, sesuatu yang sangat diperlukan KEADILAN dalam suasana politik yang mencabar hari ini.
"Beliau bukan tokoh kontroversi, tidak berselindung di sebalik kuasa, dan tidak bergantung pada jawatan untuk kekal relevan. Nurul Izzah bukan tokoh yang mewarisi, beliau adalah tokoh yang membina.
"Puteri Reformasi ini tidak meminta takhta – beliau hanya menawarkan khidmat berlandaskan integriti dan nilai perjuangan," tambah Saifuddin lagi.