top of page

Pembangkang jangan eksploitasi isu kehakiman tekan kerajaan - Fakhrulrazi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 11
  • 2 min read

ree

Pembangkang dilihat semakin terdesak apabila mengambil kesempatan menggunakan institusi kehakiman untuk memberikan tekanan kepada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Sedangkan kerajaan Perpaduan kekal komited mempertahankan prinsip pemisahan kuasa dan kebebasan institusi kehakiman sebagai asas utama pentadbiran negara, demikian kata mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar).


Beliau menjelaskan semua proses mahkamah termasuk melibatkan tokoh politik berjalan mengikut lunas perlembagaan tanpa diganggu oleh mana-mana menteri atau pegawai kanan kerajaan.


"Hakim-hakim diberikan ruang penuh untuk membuat keputusan tanpa tekanan politik. Tiada seorang pun dari pihak kerajaan dibenarkan mencampuri urusan mahkamah," katanya dalam satu kenyataan.


Fakhrulrazi turut mengkritik tindakan pihak pembangkang yang didakwanya cuba menghidupkan semula taktik politik lapuk dengan menimbulkan semula naratif “kerajaan tebuk atap” serta mengaitkan kedudukan Perdana Menteri dengan dakwaan peribadi.


Kata beliau, langkah tersebut bertujuan mencetuskan krisis persepsi awam dan menjatuhkan kerajaan melalui tekanan terhadap institusi kehakiman, walaupun tiada bukti kukuh dikemukakan.


"Ironinya, mereka yang pernah berada dalam kerajaan dan turut berdepan pendakwaan mahkamah, kini tampil seolah-olah jaguh moral," ujarnya.


Tambah beliau proses kehakiman di negara ini kekal bebas dan telus dengan akses awam terhadap keputusan serta liputan meluas media.


Mengulas lanjut, Fakhrulrazi menggesa pihak pembangkang agar menumpukan kritikan terhadap dasar kerajaan secara matang dan mengemukakan alternatif, bukannya memperalatkan kes mahkamah demi kepentingan politik.


"Demokrasi yang sihat tidak dibina atas fitnah dan eksploitasi isu kehakiman," katanya.


Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa rakyat lebih memerlukan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, kestabilan ekonomi serta pembaharuan dalam sistem pendidikan, kesihatan dan kebajikan.


Beliau turut menyifatkan gangguan politik berterusan sebagai tindakan yang hanya akan menjejaskan tumpuan kerajaan terhadap agenda reformasi dan pembelaan nasib rakyat termiskin.


"Kerajaan Madani tidak gentar dengan kebenaran atau proses undang-undang. Apa yang ditolak ialah cubaan menggugat demokrasi melalui pintu belakang," tegasnya.


Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan mahkamah sebagai medan pertempuran politik.


"Biarlah mahkamah menjalankan tugasnya – politik tidak harus menjadi hakim dan hakim tidak harus menjadi alat politik," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page