Pihak pembangkang dan penyokong mereka tidak seharusnya mempropagandakan pertukaran kerajaan menggunakan Akuan Berkanun (SD) yang tidak lagi dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya, menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Setiawangsa, Muhammad Azha Salahudin, pembangkang PN terbuka untuk memasukkan usul undi percaya atau tidak percaya menjelang sidang Dewan Rakyat pada 26 Februari depan.
Beliau juga menempelak kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Ketua Penerangan Bersatu, Fadhli Shari yang berkata bahawa banyak usul yang dibawa oleh PN telah ditolak mentah mentah oleh Speaker Dewan Rakyat.
Kata Azha, Fadhli sendiri boleh memasukkan usul undi tidak percaya dan mengumumkannya sekiranya beliau seorang berwibawa.
"Sebagai Ahli Parlimen pembangkang, YB Fadhli Shari mempunyai kuasa untuk menghantar usul undi tidak percaya kepada Speaker Dewan Rakyat 14 hari sebelum persidangan parlimen yang bersidang pada 28 Februari depan bagi membuktikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hilang sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri.
"Namun pembangkang terus memberikan seribu satu alasan yang bersikap bacul," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, kata Azha, pembangkang juga gagal membawa usul undi tidak percaya dalam cubaan menjatuhkan Kerajaan Madani pada Mei 2023.
"Perikatan Nasional juga pernah gagal membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat 22 Mei 2023 yang lalu, walaupun telah dicabar oleh pihak kerajaan untuk berbuat demikian.
"Ternyata kegagalan Ahli Parlimen pembangkang untuk membawa usul ini telah membuktikan bahawa mereka tidak mendapat sokongan majoriti seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak. Mereka tidak mahu penyokong mereka sedar atas penipuan yang mereka sendiri lakukan," katanya lagi.
Justeru, Naib Pengerusi Biro Pendidikan AMK Malaysia itu berharap PN lebih serius selepas ini dalam permainan politik mereka.
Katanya, pembangkang perlu menunjukkan mereka lebih bermaruah dan bukan membiarkan para penyokong serta laskar siber berkokok di media sosial yang mensabotaj kestabilan negara sedangkan tiada sebarang langkah dilakukan untuk melakukan cabaran politik secara berperlembagaan.
Comments