Pembangkang boikot sidang khas Dewan Rakyat RCI Tabung Haji
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Ahli Parlimen pembangkang memboikot sidang khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas Ketua Whip, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang tampil membangkitkan Peraturan Mesyuarat agar sidang khas RCI Tabung Haji itu ditangguh susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani rawatan di hospital, ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul (gambar).
"Bila PM mohon untuk mengadakan persidangan, bila dia hantar surat, saya akur sebab itulah saya benarkan majlis ini diadakan.
"Untuk mengatakan PM tidak ada, kita ada Timbalan Perdana Menteri (Dr Zahid Hamidi) di sini. TPM ada di sini mewakili Kabinet," kata Johari sebagai hujah untuk meneruskan sesi berkenaan.
Tambah Johari, pembangkang masih boleh membangkitkan pelbagai perkara mengenai RCI tersebut dalam sesi perbahasan Belanjawan 2027 dan parlimen juga, kata beliau, mempunyai Jawatankuasa Pilihan Khas yang boleh dirujuk sekiranya terdapat isu besar dalam RCI berkenaan yang perlukan lebih perhatian dewan.
Bagaimanapun pembangkang menolak hujah Yang Dipertua dan memilih untuk meninggalkan dewan sebaik sahaja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan bangun untuk memulakan sesi penerangan laporan RCI TH.
Johari kemudiannya mempersilakan mana-mana wakil rakyat pembangkang untuk keluar daripada dewan persidangan.
"Maknanya pembangkang nak keluar? Baik. Kalau siapa nak keluar, keluar.
"Kalau siapa nak tunggu, tunggu. Sebab rakyat sedang lihat anda," katanya selepas membuat keputusan sidang diteruskan.




Comments