Pembangkang bebas berhimpun tanpa rasa takut pada era Anwar - Saifuddin
- Suara Keadilan

- Jul 27
- 2 min read

Menteri Dalam Negeri menyifatkan himpunan anjuran pembangkang semalam sebagai bukti jelas perbezaan ketara antara pendekatan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding era kediktatoran Tun Dr Mahathir Mohamad yang disanjung sebagai pemidato utama 'Turun Anwar'.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, Kerajaan Madani bukan sahaja tidak menyekat himpunan tersebut, malah memudahcarakan kelancarannya sebagai bukti penghormatan terhadap hak rakyat yang dijamin dalam Perlembagaan.
"Perbezaan antara Anwar dan Dr Mahathir macam langit dengan bumi. Kerajaan Madani menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
"Saya ucap tahniah kepada PDRM yang memudahcara himpunan dengan profesional," katanya dipetik.
Terdahulu, media melaporkan seramai 3,000 pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan pelbagai jabatan Bukit Aman ditugaskan bagi memastikan himpunan disertai 18,00 pembangkang itu berjalan lancar.
Saifuddin sementara itu mengimbas era pemerintahan Mahathir yang menyaksikan rakyat yang berhimpun secara aman disuraikan secara keras, khususnya sewaktu gerakan Reformasi 1998, yang mana ribuan ditahan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan untuk membungkam suara rakyat.
Sebaliknya, katanya, di bawah pentadbiran Anwar tokoh pembangkang seperti Muhyiddin Yassin dan Mahathir sendiri bebas berhimpun tanpa sebarang tangkapan atau kekerasan.
"Itu tidak berlaku dibawah pentadbiran Anwar, pemimpin pembangkang seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mahathir dapat berhimpun secara aman tanpa sebarang tangkapan mahupun kekerasan," tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pembangkang melakukan muhasabah terhadap pencapaian sebenar himpunan tersebut dan mengajak mereka agar memainkan peranan lebih matang sebagai pembangkang yang berwibawa.
"Apa hasil perhimpunan itu? Hakikatnya, Anwar kekal sebagai Perdana Menteri, malah sokongan terhadap beliau semakin kukuh dalam kalangan rakyat dan Ahli Parlimen
"Sudah tiba masa pembangkang memainkan peranan lebih matang sebagai semak dan imbang, bukan terus menghasut dengan fitnah dan persepsi palsu, tetapi mengemukakan teguran yang konstruktif dan dasar alternatif yang lebih baik," tegas Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu.









Comments