'Pembangkang adu domba perkauman, ekonomi dikuasai pendatang asing'
- Akmal Manaf

- 59 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan MADANI akan terus memperkasa usahawan Bumiputera yang berbakat menerusi pemberian geran permulaan sehingga RM30,000 bagi membolehkan mereka menceburi sektor pertanian dan keusahawanan sebelum mendapat pembiayaan susulan.
Hal itu diperingatkan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) dalam Ceramah Perdana ‘Johor Ke Depan Undi Harapan’ di Segamat malam tadi.
Beliau pada masa sama menempelak sikap segelintir pihak, termasuk pembangkang yang menyalahkan kaum selain Melayu dalam isu ekonomi.
"Sekarang kita kena bekerja. Mengapa Cina berjaya? (Sebab) mereka kerja kuat. Melayu yang berjaya, kalau dia buka ternakan (seperti) lembu, kambing, (penanaman) sayur (dan) ada bakat, kerajaan akan bantu.
"Tapi jangan bagi bantuan (dan) geran, selepas itu ladang pun tak ada, apa pun tak ada. Sekarang ada Bumiputera yang berbakat keluar daripada universiti nak terlibat dalam pertanian, kita bagi geran sebanyak RM30,000 untuk (mereka) buat kerja.
"(Kalau) kita nampak dia berjaya, lepas itu kita (kerjasama) dengan Agrobank dan sebagainya (kerajaan) terus bantu agar dia terus berjaya," katanya.
Turut hadir antaranya Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran; calon Pakatan Harapan (PH) DUN Buloh Kasap, Noraziah Mohd Razit dan calon DUN Pemanis, Jalex Lee En Xiang.
Dalam ceramah itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi PH turut menggesa golongan muda memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, sambil mengingatkan bahawa kelekaan hanya akan membuka ruang kepada warga asing yang bekerja di negara ini membuka perniagaan runcit dan seterusnya menguasai sektor ekonomi kerana terdapat ruang kosong yang dibiarkan melopong oleh warganegara Malaysia sendiri.
"Cina ke Melayu ke kalau kita lalai, orang luar sedang ambil alih ekonomi kita (seperti) Bangladesh dan Myanmar. Betul atau tidak?
"Anak-anak muda sekalian, kalau kita benar-benar bersemangat nasionalis, kita mesti menjaga ekonomi Malaysia. Biarlah orang Malaysia sendiri yang menjayakannya.
"Kita semangat berdegar-degar, tapi (kalau) kita lihat tempat (lain), semua gerak kerja di bawah ini (ketika ini) diambil alih oleh orang luar sebab anak-anak muda kita dilalaikan dengan khayalan yang lain," katanya lagi.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menempelak sikap ultra nasionalis Melayu dalam kalangan pembangkang yang mengadu domba kaum Melayu, Cina dan India demi mendapat kemenangan dalam pilihanraya.
Dalam masa sama katanya, sektor pertanian negara pun ketika ini telah didominasi buruh asing dan tidak boleh beroperasi tanpa mereka.
Katanya, sikap seperti itu sekiranya dibiarkan terus maka pada satu waktu kelak rakyat Malaysia akan menjadi sebagaimana Amerika Syarikat sekarang ini yang sedang berusaha mengusir kaum pendatang dari negara mereka.




Comments