Pemansuhan AUKU, universiti dikembalikan kepada mahasiswa - AMK
- Suara Keadilan

- 41 minutes ago
- 2 min read

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), disambut baik dan dilihat sebagai langkah penting menghidupkan semula kebebasan serta jiwa reformasi dalam kalangan mahasiswa.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata keputusan berkenaan bukan sekadar perubahan pentadbiran, sebaliknya kemenangan penting dalam perjalanan panjang gerakan mahasiswa Malaysia yang selama puluhan tahun memperjuangkan kampus lebih bebas, demokratik dan menghormati mahasiswa sebagai warga dewasa.
"Pengumuman ini bukan sekadar satu keputusan pentadbiran. Ia merupakan kemenangan penting dalam perjalanan panjang gerakan mahasiswa Malaysia yang sejak puluhan tahun menuntut sebuah kampus yang lebih bebas, demokratik dan menghormati mahasiswa sebagai warga dewasa yang mempunyai hak untuk berfikir, bersuara dan berorganisasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sejarah gerakan mahasiswa Malaysia tidak pernah terpisah daripada perubahan masyarakat, termasuk kebangkitan mahasiswa pada penghujung 1960-an dan awal 1970-an yang turut mengangkat isu kemiskinan, ketidakadilan sosial serta nasib rakyat marhaen.
"Mahasiswa telah membuktikan bahawa mereka bukan sekadar penghuni dewan kuliah. Mereka adalah sebahagian daripada hati nurani masyarakat," katanya.
Bagaimanapun, Kamil berkata ruang mahasiswa kemudiannya semakin dibatasi menerusi AUKU serta pelbagai sekatan terhadap kegiatan dan penglibatan mereka dalam wacana awam.
Katanya, generasi aktivis mahasiswa selepas itu terus membawa tuntutan supaya mahasiswa dibebaskan, kampus didemokratikkan dan universiti dikembalikan sebagai medan percambahan ilmu serta keberanian intelektual.
"Justeru, keputusan Kerajaan MADANI untuk bergerak ke arah pemansuhan AUKU harus dilihat dalam konteks sejarah perjuangan yang panjang ini.
"Ia mengiktiraf bahawa mahasiswa tidak harus dibentuk melalui budaya takut dan kawalan berlebihan. Mahasiswa mesti diberikan kepercayaan untuk berfikir, berdebat, berbeza pandangan, mengkritik dan menawarkan penyelesaian kepada negara," katanya.
Beliau menegaskan kebebasan universiti tidak bermaksud kebebasan tanpa tanggungjawab, sebaliknya institusi pengajian tinggi yang matang perlu mampu mengurus perbezaan pandangan melalui ilmu, hujah dan dialog.
Mansuh AUKU disusuli reformasi lebih menyeluruh
Muhammad Kamil berkata pemansuhan AUKU perlu menjadi pintu kepada reformasi pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh, termasuk memperkukuh autonomi universiti, kebebasan akademik, hak berpersatuan dan kebebasan bersuara.
Pada masa sama, katanya, mahasiswa perlu diberikan ruang menentukan sendiri arah gerakan mereka tanpa kawalan berlebihan.
"AMK percaya pemansuhan AUKU mesti menjadi pintu kepada reformasi pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh, memperkukuh autonomi universiti, kebebasan akademik, hak berpersatuan, kebebasan bersuara serta ruang mahasiswa menentukan sendiri arah gerakan mereka," katanya.
Beliau turut menyeru mahasiswa dan anak muda Malaysia supaya melihat perkembangan tersebut sebagai bukti bahawa reformasi memerlukan keberanian politik, kesabaran serta sokongan masyarakat agar dapat diterjemahkan kepada perubahan sebenar.
Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata Kerajaan MADANI pimpinan Anwar perlu terus diberikan ruang dan sokongan untuk meneruskan agenda reformasi institusi yang telah lama diperjuangkan.
"Reformasi tidak selesai dengan satu pengumuman dan tidak terhenti dengan satu akta. Masih banyak pembaharuan yang perlu digerakkan, dan mahasiswa mesti menjadi antara tenaga terpenting yang mengawal, mendesak serta bersama-sama menjayakannya," katanya.
Justeru, beliau menyeru mahasiswa supaya terus memainkan peranan sebagai kelompok yang berani bersuara dan menjadi kuasa semak dan imbang kepada negara.




Comments