Pemansuhan AUKU mesti jadi reformasi total universiti - Suhail
- Sidiqin Omar

- 37 minutes ago
- 2 min read

Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dilihat sebagai permulaan kepada reformasi total pendidikan tinggi negara, bukan sekadar langkah membebaskan mahasiswa daripada sekatan untuk bersuara dan berpolitik.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan, Suhail Wan Azahar, berkata reformasi sebenar perlu mengubah keseluruhan budaya pentadbiran universiti supaya institusi pengajian tinggi kembali menjadi ruang ilmu, pemikiran kritikal, kebebasan akademik dan pembentukan kepimpinan.
Beliau berkata, kebebasan mahasiswa mesti berjalan seiring dengan pertanggungjawaban akademik, manakala autonomi universiti pula perlu disertai tadbir urus yang telus dan mekanisme semak dan imbang.
"Pendekatan pentadbiran universiti pada era terdahulu terlalu menekankan kawalan terhadap mahasiswa sehingga kebebasan bersuara dan aktivisme dilihat sebagai ancaman, sedangkan universiti sepatutnya menjadi tempat anak muda belajar mengurus perbezaan pandangan, berdebat dan membuat keputusan secara matang.
"Mahasiswa bukan lagi boleh dilihat sebagai kelompok yang perlu dikawal seperti kanak-kanak. Mereka adalah orang dewasa yang sedang dibentuk menjadi pemimpin, profesional, penyelidik dan pembuat dasar masa depan.
"Kalau kita mahu mahasiswa matang, kita perlu memberikan mereka ruang untuk membuat keputusan, berbeza pandangan dan belajar daripada kesilapan, tetapi kebebasan itu mesti datang bersama tanggungjawab," katanya kepada Suara Keadilan.

Kerajaan MADANI sebelum ini mengumumkan keputusan untuk memansuhkan AUKU sepenuhnya, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa tiada undang-undang baharu yang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa akan diperkenalkan sebagai gantinya.
Langkah itu merupakan perkembangan lanjut selepas beberapa pindaan AUKU yang telah memberikan ruang lebih besar kepada mahasiswa, termasuk pindaan yang membenarkan penglibatan politik mahasiswa serta penambahbaikan berkaitan pengurusan organisasi dan kebebasan badan pelajar.
Mansuh AUKU, ruang ubah budaya universiti
Dalam pada itu Suhail berkata, tumpuan selepas pemansuhan AUKU tidak seharusnya terhenti pada persoalan sama ada mahasiswa boleh berpolitik, berhimpun atau bersuara.
Sebaliknya, reformasi perlu menyentuh struktur pentadbiran universiti, autonomi akademik, kebebasan penyelidikan, pengurusan kewangan, pelantikan kepimpinan universiti serta ruang kepada mahasiswa dan ahli akademik untuk menentukan masa depan institusi mereka.
"Kalau kita hanya mansuhkan AUKU tetapi budaya lama dalam universiti masih sama, itu bukan reformasi total.
"Kita mahu universiti yang berani menghasilkan ilmu baharu, berani mengkritik dasar, berani mencabar pemikiran lama dan pada masa sama bertanggungjawab terhadap masyarakat serta negara," katanya.
Kerajaan kini melalui Kementerian Pendidikan Tinggi sedang meneliti kerangka baharu selepas pemansuhan AUKU dan difahamkan KPT mengumumkan penubuhan jawatankuasa bebas untuk meneliti aspek penubuhan universiti, tadbir urus, akademik dan hal ehwal mahasiswa, termasuk mendapatkan pandangan pihak berkepentingan.
Tambah Suhail, reformasi AUKU juga perlu memberikan manfaat besar kepada golongan akademik.
"Pensyarah dan penyelidik perlu diberikan ruang lebih luas untuk menjalankan penyelidikan, mengemukakan pandangan berasaskan ilmu dan mengkritik sesuatu dasar tanpa kebimbangan bahawa pandangan akademik mereka akan dianggap sebagai ancaman kepada pentadbiran.
"Universiti yang hebat bukan universiti yang semua orangnya bercakap perkara yang sama. Universiti yang hebat ialah universiti yang mempunyai perbezaan pandangan tetapi perbezaan itu diselesaikan dengan ilmu, hujah dan bukti.
"Kebebasan akademik akan menghasilkan penyelidikan yang lebih berani dan akhirnya memberi manfaat kepada kerajaan, industri dan masyarakat," katanya.
Beliau berkata, sekiranya kebebasan akademik diperkukuh, universiti Malaysia berpotensi meningkatkan kualiti penyelidikan, menghasilkan lebih banyak inovasi, memperluas kerjasama antarabangsa dan melahirkan graduan yang lebih kritikal serta berdaya saing.




Comments