Pemansuhan AUKU hadiah reformasi PMX kepada anak muda
- Suara Keadilan

- 58 minutes ago
- 2 min read

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) mengenai pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan sebagai satu lagi detik penting dalam perjalanan reformasi Malaysia.
Penganalisis politik, Shahbudin Embun (gambar) berkata, keputusan itu bukan sekadar pemansuhan sebuah akta, sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap kematangan anak muda Malaysia.
"Pengumuman PMX bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dimansuhkan merupakan satu lagi detik penting dalam perjalanan reformasi Malaysia," katanya dalam kenyataan media.
Menurut Shahbudin, mahasiswa selepas ini tidak lagi wajar dilihat sebagai golongan yang hanya berada di universiti untuk mengikuti kuliah, menduduki peperiksaan dan memperoleh ijazah, sebaliknya mereka merupakan bakal pemimpin negara.
"Mahasiswa adalah bakal pemimpin negara.
"Mereka berhak berfikir. Mereka berhak bersuara. Mereka berhak berbeza pandangan. Mereka berhak berdialog tentang masa depan negara. Dan mereka berhak mengambil bahagian dalam proses demokrasi secara bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata langkah pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat berusia 18 tahun turut mengukuhkan keperluan untuk memberikan ruang kepada mahasiswa memahami serta membincangkan politik.
"Kalau mereka sudah cukup dewasa untuk memilih kerajaan, mereka juga mesti diberikan ruang untuk memahami, menilai dan membincangkan politik. Inilah roh demokrasi," katanya.
Shahbudin berkata pemansuhan AUKU turut membawa mesej bahawa Malaysia sedang beralih daripada budaya mengawal anak muda kepada budaya mempercayai mereka.
"Itulah nilai sebenar reformasi," katanya.
Menurut beliau, latar belakang Anwar dalam gerakan mahasiswa dan reformasi turut memberikan nilai simbolik yang besar terhadap keputusan tersebut.
"PMX sendiri mempunyai sejarah panjang dalam gerakan mahasiswa dan reformasi. Maka keputusan ini mempunyai nilai simbolik yang amat besar.
"Apa yang pernah diperjuangkan oleh generasi mahasiswa terdahulu, kini sedang dibuka ruangnya kepada generasi mahasiswa hari ini," katanya.
Bagaimanapun, Shahbudin menegaskan kebebasan yang diberikan kepada mahasiswa perlu disertai tanggungjawab.
"Kebebasan berpolitik bukan lesen untuk memecah-belahkan masyarakat. Kebebasan akademik bukan bermakna menolak disiplin ilmu," katanya.
Sebaliknya, beliau berkata universiti perlu menjadi ruang yang melahirkan pemikiran kritikal, perbahasan intelektual, demokrasi matang dan kepimpinan berintegriti.
Shahbudin berkata pemimpin yang dilahirkan daripada institusi pengajian tinggi perlu berani bertanya, berbeza pandangan, menghormati pihak yang mempunyai pandangan berbeza serta memahami Perlembagaan dan prinsip demokrasi.
"Dan paling penting, pemimpin yang meletakkan kepentingan Malaysia mengatasi kepentingan politik sempit," katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Anwar atas keberanian politik untuk meneruskan agenda reformasi berkenaan.
"Kepada YAB PMX, saya ingin mengucapkan tahniah atas keberanian politik untuk meneruskan agenda reformasi ini.
"Ini bukan sekadar tentang AUKU. Ini tentang masa depan anak muda Malaysia," katanya.
Menurut Shahbudin, pemansuhan AUKU perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha membina sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan teknologi, malah matang dari aspek demokrasi, kebebasan akademik dan pemikiran rakyat.
"Daripada mahasiswa yang hanya menjadi pemerhati, kita menuju kepada mahasiswa yang menjadi sebahagian daripada pembina masa depan negara.
"Inilah reformasi. Inilah Malaysia MADANI. Tahniah PMX. Tahniah anak muda Malaysia.
"Reformasi bukan sekadar slogan — reformasi mesti dirasai oleh rakyat," katanya.




Comments