Pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda bukti PM bela rakyat


Tohmahan pembangkang kononnya Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membela peneroka Felda atau orang Melayu yang merupakan majoriti peneroka terbukti meleset.
Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai, tindakan PM baru baru ini menandatangani perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menstruktur semula pinjaman agensi berkenaan, termasuk pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM7.9 bilion, adalah bukti nyata PM amat mengambil berat nasib peneroka.
Sehubungan itu, beliau mewakili KEADILAN Wilayah Persekutuan memuji tindakan PM yang mengotakan setiap janji membela rakyat marhaen yang beliau laungkan ketika masih bergelar pembangkang dahulu.
"Saya mewakili KEADILAN Wilayah Persekutuan mengucapkan jutaan terima kasih kepada PM Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin dengan nasib para peneroka dalam isu hutang lapuk yang tidak dapat diselesaikan pentadbiran sebelum ini.
"Walaupun tidak dapat diselesaikan 100 peratus namun ia satu perkembangan positif memandangkan Felda sedang dalam usaha memulihkan keyakinan awam terhadap kemampuannya membantu peneroka yang selama ini kebajikan dan masa depan mereka diabaikan," katanya.
Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, perjanjian jaminan itu melibatkan terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.
Menurut Kementerian, sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman Felda akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang agensi tersebut bersama institusi kewangan berjumlah RM7.9 bilion.
Jaminan Kerajaan juga akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkannya memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan sejak tahun 2021.
Kenyataan itu juga berkata, Kerajaan menambah baik tatakelola penyaluran dana kepada Felda sebagai agensi badan berkanun dengan melantik Amanah Raya Trustees sebagai pemegang amanah transaksi akaun bagi memastikan pelan transformasi Felda berada di landasan yang tepat.
Oleh itu kata Andre Lai, pemansuhan hutang dan jaminan kewangan itu merupakan satu berita baik yang perlu dikenang oleh para peneroka menjelang hari Felda yang akan disambut tidak lama lagi.
"Ini adalah berita baik untuk peneroka diambang Hari Felda yang jatuh pada 7 Julai nanti," katanya lagi.




Comments