top of page

Pemandu mabuk: Sebat, batal lesen memandu serta merta - AMANAH

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 days ago
  • 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) mencadangkan hukuman lebih tegas termasuk sebatan dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, susulan insiden kemalangan maut yang berlaku hari ini.


Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil (gambar), berkata pihaknya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang terkorban dalam kemalangan jalan raya dipercayai akibat dilanggar pemandu mabuk.


"Kemalangan ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa, tetapi sudah pasti membebankan keluarga.


"Justeru, satu mekanisma baharu perlu diambil kerajaan untuk memastikan pampasan setimpal dibayar segera oleh pesalah atau keluarga mereka, selain pampasan gantirugi oleh pihak insurans yang diambil pemandu jika ada," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, antara langkah lain yang dicadangkan ialah pembatalan lesen memandu secara serta-merta terhadap individu yang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, di samping mengenakan hukuman lebih berat bagi meningkatkan pencegahan.


"Pembaharuan ini memerlukan pindaan kepada Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Beliau menegaskan bahawa kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk masih berlaku walaupun pindaan undang-undang telah dibuat sebelum ini, termasuk hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun bagi kesalahan pertama dan 15 hingga 20 tahun bagi kesalahan berulang di bawah Seksyen 44(1) akta berkenaan.


Sehubungan itu, AMANAH mencadangkan hukuman sebat ditambah bersama hukuman penjara dan denda bagi mengklasifikasikan kesalahan tersebut sebagai jenayah serius setanding kes rogol, rompakan dan dadah.


"Sudah sampai masa kerajaan menganggap kes kematian akibat pemandu mabuk juga sebagai satu kesalahan jenayah serius," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menggesa langkah pencegahan lebih komprehensif dilaksanakan termasuk kawalan lebih ketat terhadap penjualan minuman beralkohol dari segi kategori pembeli dan premis jualan.


"Larangan menjual atau menghidangkan minuman beralkohol di tempat terbuka perlu dihentikan, dan premis perlu memastikan pelanggan tidak memandu sendiri selepas mengambil alkohol. Premis juga boleh dikenakan kesalahan sekiranya menjual minuman kepada mereka yang memandu," ujarnya lagi.


Tegas beliau, pendekatan menyeluruh melibatkan aspek penguatkuasaan, undang-undang dan kawalan jualan adalah penting bagi menangani isu pemanduan mabuk secara berkesan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page