Pemandu mabuk positif dadah: Kenakan tindakan tegas - Thiban
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Insiden kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk yang turut didapati positif dadah sehingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal hari ini perlu diambil tindakan serius.
Aktivis KEADILAN Kuala Selangor, Thiban Subbramaniam (gambar) menyifatkan kejadian tersebut amat menyayat hati dan mencerminkan tahap kecuaian serta sikap tidak bertanggungjawab yang tidak boleh diterima dalam masyarakat.
Katanya, insiden seperti itu tidak wajar berlaku selepas undnag undang diperketat dan pelbagai kempen keselamatan jalan raya dianjurkan kerajaan.
"Insiden sebegini bukan sahaja menyayat hati, malah mencerminkan tahap kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab yang langsung tidak boleh diterima. Nyawa rakyat bukan satu taruhan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan menyeluruh terhadap pesalah, termasuk memastikan hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada semua pihak.
"Saya menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas dan menyeluruh terhadap pesalah, termasuk memastikan hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada semua pihak," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan keperluan memperkukuh langkah pencegahan seperti penguatkuasaan lebih ketat, pemeriksaan rawak serta program kesedaran awam secara berterusan.
"Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Tindakan mereka bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi turut mengorbankan nyawa orang lain yang tidak bersalah," katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan tersebut.
"Saya juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menyeru semua pihak memainkan peranan dalam memastikan keselamatan jalan raya terus terpelihara.
"Kesedaran, tanggungjawab dan pematuhan undang-undang adalah kunci utama dalam melindungi nyawa semua. Nyawa rakyat bukan taruhan. Bertindak sekarang," katanya lagi.




Comments