top of page

Pemandu mabuk: Hukum penjara seumur hidup, larang memiliki lesen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan digesa untuk membuat kajian semula dan memperketatkan undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol termasuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap kes yang melibatkan kematian akibat pemandu mabuk.


Gesaan itu disuarakan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, Senator Abun Sui Anyit (gambar) yang merujuk kepada kes kemalangan maut di Klang, yang telah mengorbankan seorang penunggang motosikal, Allahyarham Amirul Hafiz Umar.


Selain itu Abun berkata, kerajaan juga digesa mengetatkan larangan terhadap individu yang berada di bawah pengaruh alkohol daripada memandu kenderaan mereka.


"Kerajaan juga diharap mempertimbangkan pendekatan lebih tegas di mana individu yang mengambil alkohol tidak dibenarkan memandu tanpa perlu pembuktian tahap mabuk.


"Bagi kes berulang yang menyebabkan kematian, dicadangkan hukuman penjara seumur hidup, larangan memiliki lesen memandu seumur hidup serta pertimbangan hukuman paling berat menurut undang-undang.


"Beberapa negara telah mengambil pendekatan lebih tegas dalam menangani isu ini. Sebagai contoh, Arab Saudi melarang sepenuhnya pengambilan alkohol dan secara tidak langsung menutup ruang kepada kes pemanduan mabuk.


"Negara seperti Jepun juga mengenakan tindakan tegas bukan sahaja kepada pemandu yang mabuk, malah kepada individu yang membenarkan atau membantu mereka memandu," katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Abun lagi, amalan 'designated driver' juga dilaksanakan secara meluas di negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia dan Singapura iaitu seorang individu yang tidak mengambil alkohol akan dipertanggungjawabkan untuk memandu bagi memastikan keselamatan semua penumpang.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Malaysia memperkukuhkan kempen kesedaran dengan menggalakkan konsep pemandu tidak minum alkohol (designated driver), termasuk memperluaskan peranan perkhidmatan penghantaran atau pemandu alternatif bagi memastikan individu yang telah mengambil alkohol tidak memandu sendiri.


"Langkah-langkah itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin serta mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang.


"Keadilan mesti ditegakkan demi mangsa dan keluarga yang terkesan. Insiden sebegini amat membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan kehilangan nyawa yang tidak berdosa.


"Mangsa meninggalkan seorang balu, Nur Nadia, dan tiga anak kecil berusia 9, 7 dan 2 tahun yang kini kehilangan tempat bergantung. Kejadian ini memberi kesan besar terhadap kebajikan dan masa depan keluarga mangsa," katanya lagi.


Dalam kejadian jam 11.40 pagi 29 Mac lalu itu, Amirul yang berusia 33 tahun maut di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu suspek, yang didakwa dipandu laju di lorong bertentangan ke arah bandar Klang.


Pemandu itu dipercayai memotong beberapa kenderaan di lorong bertentangan dan melanggar motosikal ditunggang mangsa.


Perlanggaran itu menyebabkan mangsa melambung dan tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Amirul yang bekerja di sebuah gudang pada sebelah siang, dikatakan melakukan kerja tambahan dengan menjadi penghantar barang pada waktu malam.


Pada 1 April lalu, lelaki yang direman berhubung insiden berkenaan dituduh di Mahkamah Majistret Klang di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.


Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda hingga RM100,000, dan hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun.


Suspek juga dilaporkan positif alkohol dan dadah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page