Pemandu mabuk: Hukum di bawah Kanun Keseksaan berbanding Akta Pengangkutan Jalan
- Akmal Manaf

- 4 hours ago
- 2 min read

Kerajaan digesa melaksanakan tindakan undang-undang yang lebih tegas termasuk penguatkuasaan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan cadangan mengklasifikasikan kes tertentu di bawah Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan, susulan peningkatan kes pemandu mabuk yang mengorbankan nyawa di jalan raya.
Ketua Komunikasi KEADILAN Cabang Bandar Tun Razak, Yogeswary S Veloo, berkata implikasi sosial daripada kes pemandu mabuk perlu ditangani secara serius susulan peningkatan rasa takut dan marah dalam kalangan masyarakat.
Katanya, golongan paling terdedah sebagai mangsa ialah penunggang motosikal, khususnya dalam kalangan anak muda dan pekerja penghantar makanan.
"Pada 25 Mac lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan sebanyak 1,766 kes kemalangan jalan raya dengan 18 kematian di seluruh negara.
"Di Terengganu pula, sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2026 direkodkan 10 kematian, kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal mengikut portal PDRM.
"Faktor penyumbang utama merupakan kes ‘microsleep’ iaitu sebanyak 20%, (kemudian) kecuaian pemandu dan golongan paling terdedah ialah penunggang motosikal," katanya dalam satu kenyataan.
Yogeswary berkata, kelmarin di Klang, seorang penunggang motosikal turut maut selepas dirempuh pemandu mabuk yang memandu kereta Honda City secara laju dan berbahaya.
Kes itu ujarnya telah mencetuskan perdebatan undang-undang kerana peguam berpendapat, suspek wajar dituduh di bawah
Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan (membunuh tanpa niat) berbanding Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Kes berkenaan menambah kebimbangan masyarakat terhadap pemandu mabuk yang sering menjadi punca kemalangan serius dan golongan paling terdedah ialah penunggang motosikal.
"Kes ini bukan sekadar kemalangan biasa, tetapi ia mencetuskan perdebatan undang-undang mengenai klasifikasi jenayah pemandu mabuk.
"Ia menekankan betapa seriusnya isu keselamatan jalan raya di Malaysia khususnya melibatkan penunggang motosikal.
"Pada tahun lalu, PDRM mencatatkan lebih 1,500 kes memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta sekitar 8% kes kemalangan maut.
"Pada awal tahun 2026 pula beberapa kes lain turut dilaporkan di Kuala Lumpur dan Johor, dengan pola sama pemandu mabuk merempuh motosikal atau pejalan kaki," katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki mabuk di Jalan Raya Barat, Klang dalam kejadian pada 29 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, dipetik berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, kereta jenis Honda City berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa dari arah bertentangan.
Perlanggaran itu menyebabkan mangsa lelaki tempatan berumur 30-an tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia dan hasil ujian saringan mendapati pemandu Honda City berkenaan positif alkohol serta dadah.




Comments