Pemandu mabuk: Diyat boleh lindungi hak waris mangsa kemalangan
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar), mengecam sekeras-kerasnya insiden kemalangan tragik di Klang yang meragut nyawa seorang bapa, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, akibat pemandu dipercayai mabuk dan positif dadah, semalam.
Beliau menyifatkan perbuatan memandu di bawah pengaruh alkohol sebagai bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa orang lain dan tidak boleh dikompromi.
"Kejadian ini amat menyedihkan dan merupakan satu bentuk kecuaian yang tidak boleh dikompromi kerana melibatkan kehilangan nyawa yang tidak ternilai," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap pelaku bagi memastikan keadilan ditegakkan.
"Saya menggesa PDRM mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap pelaku," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa hak waris mangsa tidak boleh diabaikan dan mencadangkan agar mekanisme diyat diteliti sebagai bentuk pampasan berasaskan Syariah.
"Hak waris mangsa tidak boleh diabaikan – mekanisme diyat wajar diteliti sebagai pampasan berasaskan Syariah," katanya.
Menurut beliau, satu perbincangan mengenai pelaksanaan diyat telah digerakkan pada 11 Februari 2026 di Putrajaya melibatkan mufti-mufti serta tokoh dan pakar berkaitan, yang diselaraskan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
"Saya juga menyambut baik kenyataan Kementerian Pengangkutan yang sedang merangka pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara," katanya lagi.
Beliau berharap keadilan akan ditegakkan dan kejadian tersebut menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya.




Comments