Pemandu bas mogok: Syarikat eksploitasi pekerja berdepan tindakan
- Suara Keadilan

- Jul 23
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah mengambil tindakan serta-merta susulan insiden mogok yang melibatkan pemandu bas syarikat swasta di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru pada Isnin.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati mogok berpunca dari tindakan syarikat membuat potongan gaji tanpa penjelasan, menamatkan pemberian elaun tugas khas tanpa sebarang notis serta dakwaan kegagalan membayar kerja lebih masa.
"Pemeriksaan lanjut ke atas premis syarikat mendapati ia sebelum ini melanggar Peraturan-Peraturan Pekerjaan (Had Kerja Lebih Masa) 1980, hasil operasi sektor pengangkutan oleh JTKSM pada 17 Julai lalu.
"Pemandu syarikat berkenaan direkodkan telah bekerja lebih 104 jam kerja lebih masa dalam tempoh sebulan, melebihi had yang ditetapkan undang-undang. Susulan itu dua kertas siasatan telah dibuka ke atas syarikat berkenaan," kata kementerian itu semalam.
KESUMA dalam kenyataan sama memaklumkan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana syarikat yang didapati menindas pekerja atau melanggar undang-undang buruh negara.
Sehubungan itu KESUMA menggesa pekerja yang menjadi mangsa potongan gaji tidak sah, bayaran OT tidak dibayar, atau layanan tidak wajar supaya tampil membuat aduan rasmi kepada JTKSM untuk membolehkan siasatan dan tindakan segera diambil.
"Majikan wajib mematuhi peruntukan undang-undang, pemotongan gaji tanpa kebenaran boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan
"Menteri Sumber Manusia juga telah mengarahkan tindakan tegas diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana syarikat yang melanggar undang-undang dalam usaha memastikan kebajikan pekerja sentiasa dilindungi," tambah kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan boleh mengemukakannya menerusi talian hotline 03-8886 5192 / 5937 atau emel ke jtksm@mohr.gov.my untuk siasatan dan tindakan segera.









Comments