Pemaju perlu bina blok Madani bagi setiap perumahan baharu - PM
- Suara Keadilan
- Aug 6, 2024
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan setiap projek kediaman baharu di Kuala Lumpur perlu menyediakan beberapa blok perumahan Madani untuk dimanfaatkan rakyat berpendapatan rendah sebagai salah satu syarat kelulusan.
Perdana Menteri (PM) berkata kerajaan bersedia untuk memberikan kelulusan tanah atau kelonggaran untuk mempercepatkan projek tersebut asalkan ia memenuhi syarat tersebut.
"Setiap perumahan baharu saya arahkan Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dia (pemaju) ada tanah kita luluskan, beri kelonggaran untuk cepatkan tapi syarat mesti ada satu dua blok Madani untuk rakyat manfaatkan.
"Ini ketegasan, kalau tegas pimpinan dan penjawat awam banyak boleh selesaikan. Kalau tidak tegas dia dapat setengah juta dia tutup kes, sebab itu dulu tak ada ditekankan sama ada ratio blok, syarat-syarat hijau, taman dan tapak sekolah itu semua 'tersakau' kerana tidak fikir kepentingan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Perdana Menteri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk pihak pemaju membangunkan perumahan mewah untuk golonhan kaya namun kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah perumahan yang dihadapi oleh rakyat berpendapatan rendah di ibu kota.
"Orang kaya, buatlah rumah banyak mana pun berapa puluh juta pun buatlah, saya tak peduli…tetapi rakyat yang lain harus dibantu, sebab itu mengapa jentera kerajaan harus dikerahkan supaya menyelesaikan masalah perumahan yang sangat rumit. Saya lihat senarai 60,000 orang menunggu untuk dapat rumah bandar raya
"Kita warisi kedudukan senarai 60,000 orang hendak dapat rumah bandaraya kemudian diserang nak selesaikan dalam masa setahun, tidak boleh. Hari ini (lancarkan) 850 unit rumah, Kor Ming sedang rancang sekurang-kurangnya 3,000 hingga 4,000 unit rumah disedsiakan di satu-satu tempat," katanya.
Justeru itu, beliau sekali lagi mengingatkan supaya semua pihak tidak memandang ringan soal tatakelola, rasuah dan ketirisan kerana perkara tersebut mempunyai kesan kepada nasib rakyat.
Beliau berkata sekiranya amanah dapat dijaga, negara boleh dibersihkan daripada jenayah rasuah sekali gus meningkatkan kedudukan negara di rantau ini.
Comentarios