Pemaju, Menteri Wilayah era PN jelaskan isu projek Kg Sg Baru - AMK Selangor
- Suara Keadilan

- Sep 20
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Pembangunan semula Kampong Bharu, Kuala Lumpur mesti dilaksanakan dengan penuh teliti, berhemah dan mengutamakan kesejahteraan pemilik asal kawasan bersejarah itu.
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor berkata, pihaknya mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampong Bharu termasuk di Kampung Sungai Baru yang menjadi kontroversi ketika ini.
"AMK Selangor berpandangan bahawa setiap langkah pembangunan semula mesti menjaga kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu.
"Ini bagi memastikan kepentingan sejarah terpelihara sebagaimana yang terkandung dalam Malay Agricultural Settlement (MAS) tahun 1900," kata Ketuanya Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin dalam satu kenyataan pada Khamis bertitah bahawa baginda tidak menolak usaha pembangunan semula di kawasan Kampong Bharu, namun syaratnya mestilah jelas serta berpihak kepada orang Melayu agar sejarah dan warisan asal kawasan itu terus terpelihara.
Mengulas mengenai projek Kampung Sungai Baru yang ditunggang pembangkang kononnya Kerajaan Perpaduan tidak membantu menyelamatkan tanah orang Melayu, AMK Selangor menuntut pihak pemaju dan Menteri Wilayah Persekutuan era Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memberi penerangan menyeluruh bagi menjernihkan keadaan kerana pengambilan tanah secara paksa di kawasan itu diluluskan oleh Kerajaan PN.
"AMK Selangor menggesa pihak pemaju dan Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini untuk tampil menjelaskan isu projek pembangunan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
"Hal ini memandangkan projek tersebut tidak boleh dibatalkan dan telah diwartakan di bawah Seksyen 4 dan 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 sejak pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pada 2021.
"Penjelasan ini amat mustahak kerana terdapat pihak yang cuba mempolitikkan isu tersebut tanpa mencari penyelesaian dan cuba menafikan fakta sebenar yang berlaku," kata Iman Haziq.
Selain itu, AMK Selangor juga menyeru agar insiden pengambilan paksa tanah di Kampung Sungai Baru tidak akan berlaku dalam pembangunan masa hadapan di kawasan penempatan Melayu di tengah tengah Kuala Lumpur itu.
"AMK Selangor menyeru Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pemaju dan penduduk setempat untuk memastikan insiden di Kampung Sungai Baru tidak berulang.
"Semua pihak bertanggungjawab memastikan pembangunan semula Kampong Bharu dilaksanakan dengan adil dan berhemah, tanpa menjejaskan kepentingan serta maruah orang Melayu," tegas beliau.
Untuk rekod, Sultan Selangor kelmarin bertitah agar pembangunan semula Kampong Bharu dilaksanakan dengan teliti dan berhemah, dengan mengutamakan kepentingan orang Melayu.
"Kampung Baru ditubuhkan pada tahun 1899 sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian hasil kurniaan nenda Beta, Sultan Selangor Kelima, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S)," titah Baginda mengingatkan sejarah penempatan berkenaan yang amat rapat dengan Kerajaan Negeri Selangor.
Baginda juga mengingatkan bahawa Kampung Baru pernah menjadi simbol kebangkitan orang Melayu, termasuk lokasi Kongres Melayu Se-Malaya 1946 yang mencetuskan penubuhan UMNO serta tempat perlindungan masyarakat Melayu ketika tragedi 13 Mei 1969.









Comments