Pemaju diarah pastikan insiden ban pecah tidak berulang - Saifuddin
- Suara Keadilan
- Apr 24
- 1 min read

Kerajaan Selangor mengambil serius insiden ban pecah di kolam takungan air di Taman Seri Alam, Sungai Buloh awal pagi Selasa.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, Yayasan MBI sudah tampil menyalurkan bantuan kecemasan kepada penduduk yang terjejas.
"Pegawai Daerah (DO) dan Yang Dipertua (YDP) Majlis juga telah diminta turun padang untuk bertemu penduduk dan menilai keadaan secara langsung," katanya menerusi kenyataan ringkas di laman Facebooknya.
Media pada Rabu melaporkan, kolam takungan tersebut pecah kira-kira jam 6 pagi menyebabkan air melimpah keluar membanjiri kawasan perumahan itu.
Difahamkan, bahagian yang pecah merupakan bahagian yang sedang dalam proses baik pulih susulan insiden tebing kolam berkenaan yang runtuh 29 Disember lalu.
Ada dakwaan daripada penduduk yang mendakwa pembaikan benteng itu terbengkalai sejak Januari lalu.
Sementara itu menurut Saifuddin, Kerajaan Negeri sudah mengarahkan pemaju supaya segera membaiki ban tersebut selain memastikan langkah-langkah pencegahan diambil agar perkara sama tidak berulang.
"Tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka mengabaikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk yang telah berulang kali terjejas akibat kejadian seumpama ini," tegasnya.
Comments