top of page

Pelupusan hutang Abraj RM192 juta selamatkan pendeposit Tabung Haji

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 3 min read

Keputusan menjual pegangan saham Tabung Haji (TH) dalam Abraj Sdn. Bhd. pada 2020 merupakan langkah tepat bagi mengelakkan institusi itu terus terdedah kepada risiko kewangan yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit.


Mantan Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) berkata, transaksi berkenaan tidak wajar dinilai hanya berdasarkan nilai jualan saham yang dianggap amat murah sedangkan pembeli turut mengambil alih bebanan hutang TH dalam Abraj berjumlah kira-kira RM192 juta.


"Dalam urus niaga tersebut, nilai saham TH yang dijual kepada ARB adalah sebanyak RM100,000.


"Namun, angka RM100,000 itu tidak boleh dilihat secara berasingan kerana ARB selaku pembeli turut bersetuju mengambil alih bebanan hutang TH dalam Abraj yang berjumlah sekitar RM192 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.


Abraj merupakan syarikat yang dimiliki 50 peratus oleh TH dan 50 peratus lagi oleh Amanah Raya Berhad (ARB), dan disenaraikan sebagai antara 14 pelaburan bermasalah dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.


Mujahid berkata, beliau pada 20 Februari 2020 telah menandatangani surat persetujuan untuk menjual pegangan saham TH dalam Abraj selepas pihak pengurusan TH membuat keputusan bagi mengurangkan risiko yang ditanggung institusi berkenaan.


"Oleh itu, adalah tidak adil sekiranya hanya angka RM100,000 dipetik untuk menggambarkan keseluruhan transaksi tanpa menjelaskan bahawa pembeli turut mengambil alih bebanan hutang tersebut," katanya.


Beliau turut menolak perbandingan langsung antara harga jualan saham RM100,000 dengan nilai hartanah Abraj yang dilaporkan sekitar RM300 juta.


Menurutnya, penilaian hartanah berkenaan dibuat pada 2016, sedangkan Abraj telah berdepan masalah kewangan sejak tahun tersebut dan bebanan hutangnya meningkat kepada sekitar RM192 juta menjelang 2019.


Mujahid berkata, keadaan kewangan Abraj semakin serius apabila syarikat berkenaan mencatatkan rosot nilai sekitar RM40 juta pada 2019.


Katanya, bank turut mengeluarkan notis pelanggaran dan amaran berkaitan hutang antara Ogos hingga Oktober tahun sama.


Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan berkenaan perlu dilihat dalam konteks kedudukan kewangan TH ketika itu, termasuk defisit sekitar RM10 bilion yang dikenal pasti pada penghujung 2018.


"Dalam keadaan TH sedang berhadapan defisit sekitar RM10 bilion yang dikenal pasti pada penghujung 2018, bebanan hutang Abraj sebanyak RM192 juta berisiko menjejaskan lagi usaha pemulihan dan penstrukturan semula yang sedang dilaksanakan," katanya.


Sehubungan itu, Mujahid menyifatkan keputusan melepaskan pegangan saham TH dalam Abraj sebagai langkah terbaik bagi mengelakkan keadaan kewangan TH menjadi lebih buruk.


"Keputusan melepaskan pegangan saham TH dalam Abraj, dengan bebanan hutang RM192 juta diambil alih oleh pembeli, merupakan keputusan yang dianggap terbaik berdasarkan keadaan kewangan TH ketika itu.


"Demi menjaga kepentingan para pendeposit dan mengelakkan TH daripada mengalami ‘pendarahan’ kewangan yang lebih parah, saya telah memberikan persetujuan berdasarkan mandat kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji," katanya.


Mujahid turut menyatakan kesediaannya untuk membantu sebarang siasatan berkaitan kes Abraj dan mempertahankan keputusan yang dibuat ketika itu.


"Saya memberikan komitmen sepenuhnya untuk membantu sebarang siasatan berkaitan kes Abraj dan bersedia mempertahankan keputusan yang dibuat ketika itu.


"Keputusan tersebut perlu dinilai berdasarkan keseluruhan keadaan kewangan dan risiko yang dihadapi TH pada waktu berkenaan, khususnya usaha memulihkan institusi serta memelihara kepentingan sekitar 9 juta pendeposit Tabung Haji," katanya.


Dr Mujahid sebelum ini diserang ahli politik Umno dan Pas kononnya telah menjual aset TH kepada bukan Islam melalui Menteri Kewangan dari DAP, Lim Guan Eng.


Namun laporan RCI tidak menyebut sebaris ayat pun aset TH jatuh ke tangan bukan Islam atau pengkhianatan DAP dalam hal aset umat Islam.


Terbaharu, Mujahid difitnah lagi menjual aset Abraj dengan harga murah sedangkan syarikat berkenaan berada dalam keadaan kewangan tenat dan syarikat induk TH pula mengalami kerugian besar, yang tidak mungkin menyelamatkan anak syarikatnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page