Peluasan SST: KPT ambil serius keluhan mahasiswa - Dr Zambry
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan akan meneliti secara menyeluruh kesan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mula berkuat kuasa 1 Julai lalu terhadap mahasiswa.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar) berkata, pihaknya memandang serius keluhan mahasiswa berhubung isu tersebut dan komited memastikan kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan.
"Saya sudah kumpulkan maklum balas dan minta semua naib canselor universiti jalankan kajian termasuk kesan SST pada aspek pembelajaran dan perbelanjaan harian pelajar.
"Kita akan memperincikan dengan apa yang dimaksudkan tetapi yang diumumkan oleh kerajaan iaitu kenaikan kepada pelajar-pelajar antarabangsa yang datang belajar ke negara kita dengan kenaikan tarif atau kenaikan cukai pengajian mereka ke Malaysia
"Mungkin ada hal-hal yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan pelajar kita," katanya dipetik.
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Jumaat berkata peluasan SST memberi implikasi kewangan kepada mahasiswa.
Yang Dipertuanya, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain merujuk kepada pelaksanaan SST terhadap perkhidmatan langganan digital, pembaikan alat elektronik, dobi dan pembelian dalam talian yang dakwanya memberi kesan langsung kepada kewangan mahasiswa.
コメント