Peluang pekerjaan, masa depan anak muda jadi keutamaan Manivanan


Calon Pakatan Harapan (PH) DUN N.07 Jeram Padang memberi komitmen menangani isu peluang pekerjaan dan pembangunan masa depan golongan muda di kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Manivanan Gowin berkata, Jeram Padang mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai kawasan yang mampu menarik pelaburan melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Justeru beliau bertekad membantu membawa pelaburan baharu agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk dan memperkukuh ekonomi setempat.
"Pembangunan sebenar bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi memastikan rakyat mempunyai pekerjaan yang stabil, pendapatan yang lebih baik dan peluang menikmati kehidupan yang lebih berkualiti. Itulah komitmen saya kepada anak muda di seluruh Jeram Padang," katanya dipetik dari laporan media.
Mengulas lanjut Manivanan turut menyatakan komitmen beliau untuk membantu memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan tempatan.
Usaha tersebut dapat dilaksana menerusi sokongan menyeluruh melalui akses kepada latihan, pembiayaan, pemasaran dan pendigitalan perniagaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi kawasan.
"Pembangunan belia sudah tentu akan diperkukuhkan menerusi pelaksanaan program latihan TVET, latihan keselamatan dan pekerjaan melalui Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), pembangunan kemahiran digital, keusahawanan serta program pembangunan bakat bagi meningkatkan kebolehpasaran anak muda," tambahnya.
Selain program latihan TVET, Manivanan turut merancang memperluaskan penyertaan belia dan penduduk luar bandar dalam program pembangunan ekonomi desa seperti Desa MAHA yang memberi penekanan kepada pertanian moden, penternakan, akuakultur serta pengurusan pemasaran produk desa hingga ke peringkat kebangsaan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu golongan muda mendapatkan pekerjaan, malah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bersaing serta menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.




Comments