Oleh: P.Prabakaran
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) alasan untuk menangguhkan Undi18? Ini tidak masuk akal sama sekali. Rata-rata semua industri telah berfungsi seperti biasa sejak tamatnya PKP 1.0, mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat berfungsi seperti industri dan agensi-agensi lain?
Ini bukan musim pilihan raya, tidak ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak Julai 2020, apa yang menghalang SPR untuk melaksanakan pengundian pada usia 18 tahun?
PKP hanyalah satu alasan yang remeh, supaya Undi 18 tidak dilaksanakan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN). PN mungkin takut berdepan dengan anak muda dan generasi baharu yang telah arif dengan permainan politik mereka.
Adakah SPR sengaja melengahkan pelaksanaan Undi 18 walaupun telah diluluskan di Parlimen kerana sebab-sebab ini? Pelaksanaan pendaftaran secara automatik hanya perlu penyelidikan dan pembinaan satu platform baharu. Satu sistem yang membolehkan rakyat Malaysia yang berumur 18 untuk didaftarkan secara automatik.
Membina sistem baru dan untuk menyelidik keberkesanan sistem ini tidak perlu untuk berjalan-jalan, tidak perlu pergi ke tempat awam dan tidak perlu untuk menghadiri majlis keramaian. Ianya tiada kena-mengena dengan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) atau PKP. SPR hanya perlu duduk berbincang dengan jurutera perisian untuk membina sistem baharu.
Walaupun semua kakitangan SPR kerja dari rumah (work from home) mereka masih boleh menyediakan platform ini secara online. Apa kena mengena dengan PKP?
Seorang tokoh yang melaungkan Demokrasi dan Hak Asasi Manusia adalah antara salah seorang yang sedang duduk dalam carta organisasi SPR, tetapi perkara remeh sebegini masih boleh berlaku.
Pas setuju SPR tangguh Undi 18
Kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengatakan undi bukan bergantung kepada usia semata-mata dan kematangan rakyat untuk memilih kerajaan juga penting. "Undi ini bergantung kepada kematangan, jangan undi usia 18 tahun saja, mesti ada kematangan dan kita tidak boleh terpengaruh dengan Barat.
Ini adalah satu kenyataan yang kurang matang dan amat lucu sekali daripada seorang pemimpin parti politik. Bagaimana kita tidak boleh mengenepikan usia dalam kelayakan mengundi? Bagaimana mengukur kematangan seseorang untuk mengundi? Apakah formula untuk menentukan kematangan pengundi?
Semasa negara digemparkan dengan isu perkahwinan bawah umur, apa komen-komen yang telah dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin parti Pas? Di mana kebimbangan pemimpin-pemimpin politik Pas mengenai kematangan?
Tanggungjawab sebagai seorang isteri adalah satu tanggungjawab yang lebih penting atau sama penting dengan seorang pemimpin yang memimpin negara. Tanggungjawab untuk membina keluarga, mengembangkan zuriat dan serta mendidik anak sehingga berjaya.
Sekiranya seorang yang di bawah umur dapat menjalankan segala tanggungjawab sebagai suami atau isteri, apatah lagi menunaikan tanggungjawab mengundi memilih seorang pemimpin negara? Bawah umur boleh pilih bakal suami atau isteri tetapi yang berumur 18 tidak boleh mengundi memilih pemimpin mereka? Apakah logik yang cuba disampaikan oleh pemimpin parti Pas?
Pencapaian antarabangsa atlet bawah 18
Berapa ramai atlet negara di arena antarabangsa yang kurang dari 18 tahun? Berapa ramai pelajar yang kurang daripada umur 18 tahun mengharumkan nama negara di arena antarabangsa? Adakah kita akan menyingkir dan mengatakan bahawa mereka tidak layak atau kurang matang?
Penangguhan Undi 18 adalah satu penghinaan kepada anak muda di negara ini, penangguhan Undi18 bererti negara tidak memberi keutamaan kepada anak muda Malaysia.
Saya memandang serius perkara ini dan akan memastikan anak muda dihormati. Mereka tidak boleh dipandang sebagai tidak matang atau tidak boleh mengambil bahagian dalam pembinaan, kemajuan dan pembangunan negara.
Semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun harus dibenarkan mengundi dalam pilihan raya akan datang. Kerajaan yang takut dan lari dari anak muda adalah kerajaan yang tidak mempunyai pandangan jauh dan tidak boleh diharapkan dalam memajukan negara. Masa depan anak muda amat kabur dengan mentaliti pemimpin dan polisi kerajaan sebegini.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Batu dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan
Comments