top of page

'Pelik MB Kedah tidak tahu projek fidlot bawah Exco didakwa rasuah?'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 31 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Kenyataan Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa beliau belum menjadi MB ketika projek fidlot ternakan lembu dilaksanakan menimbulkan tanda tanya apabila tarikh tuduhan kes yang membabitkan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin adalah pada Jun 2020 ketika beliau menjawat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco), sedangkan MB Sanusi mengangkat sumpah MB pada 17 Mei 2020.


Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai (gambar), MB Sanusi sewajarnya diberi pemakluman kerana Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot tersebut melibatkan kos besar, dan memerlukan pemantauan beliau.


"Projek itu melibatkan kos yang begitu besar, wajar Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika itu dimaklumkan


"Hal itu berlaku ketika tempoh YB Azman menjadi Exco. Projek tersebut juga melibatkan kepentingan untuk kerajaan negeri, jadi walaupun pertukaran pucuk pimpinan pada masa itu, Sanusi juga (mungkin) dimaklumkan (tentang isu berkenaan)," katanya.


Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik kenyataan MB Sanusi bahawa projek berkenaan dirancang ketika Kedah berada di bawah pentadbiran MB Datuk Seri Mukhriz Mahathir.


Mengulas tohmahan pihak pembangkang mengatakan pendakwaan ke atas Azman itu bersifat politik, Adam berkata, semuanya akan terjawab di mahkamah setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyempurnakan tugas menyiasat.


Pembangkang, katanya, perlu menunggu perbicaraan penuh dan tidak wajar mengeluarkan tuduhan melulu.


"Saya rasa semua ini perlu disiasat lebih mendalam oleh SPRM. Kita pun tak tahu lagi sama ada ia (isu ini) bersifat politik atau macam mana. Tapi apa pun, biarlah pihak SPRM dan mahkamah yang menentukannya," ujar beliau lagi.


Semalam, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah menegaskan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot yang dilaksana pada 2020 adalah di luar bidang kuasanya, biarpun Azman yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam kelmarin, adalah seorang daripada Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) pada ketika itu..


"Saya tak tahu, (kejadian) itu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar... sebelum tahun 2020. Saya tak tahu kejadian dan peristiwa itu, saya pun tak pasti dan tengok surat khabar sahaja," katanya dipetik.


Mengikut pertuduhan, Azman didakwa bersubahat dengan ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar untuk menerima RM400,000 daripada seorang individu sebagai dorongan mendapatkan projek ternakan lembu itu daripada Kedah Agro Holding Berhad pada 23 Jun 2020 di Bandar Baru Bangi.


Azman bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page