Pelihara kebersamaan di Aidilfitri - MB Selangor
- Suara Keadilan
- Apr 10, 2024
- 1 min read

Rakyat Malaysia diseru untuk terus memelihara kebersamaan dalam kalangan berbilang bangsa.
Hal itu ditegaskan dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari
"Kesederhanaan ini harus kita teruskan dan ditampilkan bukan sahaja melalui tindakan kita, tetapi juga menerusi akal budi dan fikiran kita agar anak-anak kita turut mewarisi budaya dan akhlak yang serupa supaya dapat melahirkan generasi yang bermaruah dan berwawasan.
"Manfaatkanlah sepenuhnya silaturrahim dan ukhuwwah yang telah kita bina selama ini seperti yang dianjurkan agama.
"Kebersamaan inilah yang harus kita pelihara di Selangor, lebih-lebih lagi pada detik terdapat kelompok yang ingin menimbulkan keraguan ataupun kegusaran dalam kalangan kita hanya untuk agenda-agenda beberapa individu," katanya.
Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, hasil kestabilan dan kemakmuran Selangor maka pungutan hasil Kerajaan Negeri sepanjang tiga bulan pertama tahun ini amat memberansangkan.
Sehubungan itu beliau telah mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2024 yang memberikan satu bulan gaji kepada seramai 21,736 penjawat-penjawat awam Negeri Selangor yang telah disalurkan pada 8hb April bersamaan dengan 28 Ramadan 1445.
Pentadbiran beliau juga memanjangkan insentif kerana menginsafi peranan para guru seperti 4,350 guru-guru KAFA dengan Bantuan Mahabbah Ramadan sebanyak RM1,000 serta RM500 kepada 1,600 guru rakyat. Kesemua ini dengan implikasi kewangan sebanyak RM49.46 juta bagi manfaat warga Selangor.
Kepada warga Selangor yang pulang berhari raya dikampung, Amirudin berpesan supaya memanfaatkan detik-detik emas bersama keluarga dan sahabat tersayang.
"Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua.
"Saya memohon ampun dan maaf setulus Ikhlas atas sebarang kekurangan yang ada, dan berazam untuk terus memberi khidmat yang terbaik buat anda semua dan negeri kita. Taqaballallahu minna wa minkum," katanya lagi.
Comments