Peletakan jawatan Rafizi, Nik Nazmi tidak ganggu perancangan strategik kerajaan
- Suara Keadilan
- Jun 6
- 1 min read

Peletakan jawatan dua menteri kanan baru-baru ini tidak akan menjejaskan perancangan strategik negara, termasuk penyediaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) dan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Kebangsaan (NESP).
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kedua-dua inisiatif itu telah berada di peringkat akhir penyediaan dan pelaksanaannya diteruskan dengan sokongan kukuh penjawat awam serta kementerian berkaitan.
"RMK-13 hampir siap dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
"Bagi NESP pula, kerja-kerja penyediaan sedang giat dijalankan, walaupun tarikh pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan," katanya dipetik selepas menghadiri Simposium Forward Faster 2025 anjuran UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) di ibu negara pada Khamis.
Beliau sebelumnya diminta mengulas perkembangan RMK-13 dan NESP susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkuat kuasa Julai ini.
"Peletakan jawatan itu tidak akan menjejaskan kesinambungan dasar memandangkan semua kementerian sudah memahami kepentingan prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dalam perancangan pembangunan negara.
"Sokongan teknikal dan dasar dari kalangan pegawai kerajaan sangat kukuh. Mereka sudah ada gambaran yang jelas dan tahu apa yang ingin dicapai menerusi ESG," katanya lagi.
Terdahulu, dalam ucaptamanya di simposium itu, Hanifah menjelaskan bahawa NESP akan menjadi panduan menyeluruh untuk memacu sektor perniagaan ke arah amalan mampan dan pematuhan ESG yang selaras dengan piawaian antarabangsa.
"NESP disusun berdasarkan enam tonggak utama dalam Rangka Kerja Strategik Kelestarian Negara dan ESG Industri, dan akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih secara berperingkat kepada pelaporan dan amalan mampan," ujarnya.
Comments