Kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan akan diatasi dengan pelbagai kaedah dan pendekatan.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pihak kementerian akan berusaha sehabis baik bagi mengatasi masalah kesesakan di jabatan kecemasan di seluruh Malaysia.
"Kita memperkasakan sistem lean health care yang mengurangkan kerja yang tiada nilai tambah. Ia juga memendekkan masa menunggu pesakit. Aktiviti lean health care bermula dari kaunter ke farmasi. Contoh perlaksanaannya boleh dilihat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang," katanya dalam sidang Dewan Rakyat sesi pagi.
Zaliha berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH - Bandar Kuching) yang mahu kementerian menerangkan usaha mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital di seluruh negara.
Dalam pada itu, Dr Zaliha juga menyatakan pelaksanaan penambahbaik prosedur kemasukan pesakit ke wad dalam tempoh singkat selama 32 jam bagi mendapatkan rawatan.
Beliau juga menjawab soalan tambahan Dr Kelvin berkaitan masalah ketidakcukupan anggota dan memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan meneruskan sesi libat urus dengan semua pihak yang terlibat.
"Kita akan terus adakan sesi libat urus. Saya akan berjumpa dengan ketua pengarah negeri pada 28 hari bulan ini. Masalah perjawatan bukan sahaja masalah Kementerian Kesihatan tapi juga Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.
"Kita boleh mengambil doktor tapi kalau tiada duit (peruntukan), susah. Setiap hospital ada isu berbeza," katanya.
Comentários