Pelbagai adaptasi elak masalah kenaikan paras laut - Nik Nazmi


Oleh: Abdullah Ziad
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam komited untuk melaksanakan langkah-langkah adaptasi sebagai persediaan menghadapi masalah kenaikan paras laut di negara ini.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan jangka pendek dan jangka panjang itu berpandukan kepada Penilaian Perubahan Iklim Ke-6 di bawah Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC).
Katanya, langkah-langkah itu menggunakan Nature Based Solution (NBS) seperti penanaman pokok bakau dan menghijaukan kawasan bandar serta membina tembok laut di pesisiran pantai.
"Bagi tahun 2021 - 2025, Kementerian menyasarkan kawasan seluas 250 hektar kawasan untuk ditanam dengan pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya menerusi Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang ingin mengetahui langkah adaptasi kerajaan mengenai risiko perubahan iklim.
Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, kerajaan ketika ini sedang berusaha menaikkan tahap perlindungan dengan izin Average Recurrence Intervals (ARIs) struktur mitigasi banjir daripada 100 tahun kepada 200 tahun.
"Ia melibatkan perancangan projek-projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) serta lembangan sungai yang akan diperkasa melalui Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran yang kini berada di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)," ujarnya.
Selain itu katanya, kementerian dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan agensi tempatan sedang membangunkan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP).
"Dokumen ini akan menjadi panduan asas untuk merangka strategi tindakan negara bagi menangani kesan perubahan iklim seperti banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau," ujarnya.
Oleh itu, Nik Nazmi menegaskan kerajaan sentiasa proaktif dan mengambil pendekatan berperingkat dalam perancangan jangka panjang untuk menangani impak perubahan iklim agar keselamatan rakyat terjamin selain risiko kerugian harta benda dapat dikurangkan.




Comments