top of page

Pelarian Rohingya: PM arah KDN selaras isu, tindakan dengan pelbagai agensi

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti dan menyelaras beberapa dapatan hasil siri mesyuarat melibatkan pelbagai agensi dan kementerian berhubung isu pelarian Rohingya bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dibuat susulan perbincangan Jemaah Menteri pada hari ini yang turut meneliti hasil mesyuarat penyelarasan melibatkan pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pejabat Menteri Besar Selangor serta kementerian dan agensi berkaitan.


"Mesyuarat penyelarasan (itu adalah) untuk mendapatkan hala tuju (isu pelarian Rohingya) susulan kepada satu mesyuarat yang diadakan dua minggu yang lalu. Minggu lepas juga terdapat satu lagi mesyuarat (isu yang sama).


"Ini untuk memastikan sebarang tindakan yang diambil, benar-benar mencapai maksud sekiranya ia berkaitan sama ada pendaftaran, atau perkara-perkara berkaitan, maka perlu diselaraskan antara pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan di Putrajaya hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai sama ada terdapat sebarang pengumuman atau keputusan baharu daripada pihak kerajaan susulan mesyuarat penyelarasan berhubung isu Rohingya tersebut.


Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan belum ada sebarang keputusan khusus untuk diumumkan setakat ini.


Menurut beliau, perbincangan dan penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan akan diteruskan dalam masa terdekat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan oleh kerajaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page