Pelarian didaftar dalam sistem biometrik, kawal selia lebih sistematik - Saifuddin
- Helmi Mohd Foad

- Apr 6
- 3 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan proses pendaftaran pelarian di negara ini melalui sistem biometrik kerajaan sebagai langkah menguruskan golongan tersebut dengan lebih teratur selain memastikan aspek keselamatan negara terpelihara.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dilaksanakan bermula awal tahun ini bagi membolehkan data dikumpulkan secara jelas dan menyeluruh.
"Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang telah bermula pada 1 Januari 2026 merupakan langkah penting ke arah pengurusan yang lebih teratur.
"Melalui inisiatif ini, kita dapat mengumpulkan data yang lebih jelas dan menyeluruh supaya proses kawal selia dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Keselamatan Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka Bil. 1/2026 di Putrajaya hari ini.

Saifuddin Nasution berkata jawatankuasa tersebut bertanggungjawab meneliti semula pendekatan negara dalam mengurus isu pelarian dan pemohon suaka yang semakin mencabar serta memerlukan perhatian berterusan.
Jelasnya tugas tersebut turut membabitkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
Katanya perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh koordinasi antara agensi dan memastikan aspek keselamatan negara terus terpelihara di samping pengurusan isu ini dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
"InsyaAllah, usaha penambahbaikan ini akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa agar pengurusan isu ini lebih jelas, terkawal dan memberi manfaat kepada semua pihak," katanya.
Pada Disember tahun lalu, Saifuddin ketika bercakap di Parlimen menyatakan kerajaan telah menambah baik Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 pada 2023 yang memperuntukkan mekanisme pengurusan pelarian mengikut undang-undang Malaysia bagi menangani isu berhubung pelaksanaan pendaftaran pelarian.
Melalui arahan tersebut, pengurusan pelarian dijalankan menggunakan DPP iaitu dokumen tunggal bagi mengesahkan status individu sebagai pelarian di negara ini.
Jelasnya pelaksanaan DPP membolehkan data pelarian didaftarkan di dalam sistem biometrik kerajaan bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan tanpa bergantung kepada kerjasama dan data daripada entiti asing.
Sebelum ini kata Saifuddin, pendaftaran pelarian di Malaysia oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dilaksanakan secara unilateral tanpa penglibatan agensi kerajaan.
Keadaan itu menyebabkan kerajaan tidak mempunyai elemen kawalan terhadap permohonan individu sebagai pelarian termasuk jumlah dan lokasi keberadaan mereka di negara ini, katanya.
Sehingga akhir Februari 2026, terdapat kira-kira 215,600 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.
Daripada jumlah itu, seramai 193,824 orang adalah dari Myanmar termasuk kira-kira 126,144 etnik Rohingya, 15,774 etnik Chin dan 33,002 daripada kumpulan etnik lain yang berasal dari kawasan konflik atau melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.
Baki selebihnya iaitu kira-kira 21,776 orang merupakan pelarian dan pemohon suaka dari lebih 50 negara yang melarikan diri daripada peperangan dan penindasan.
Ini termasuk kira-kira 5,760 rakyat Pakistan, Yaman (3,193), Somalia (2,945), Afghanistan (2,931), Syria (2,471), Sri Lanka (1,043), Palestin (514), Iraq (420) dan lain-lain.
Kira-kira 46% daripada pelarian dan pemohon suaka adalah lelaki manakala 24% adalah wanita.
Terdapat juga kira-kira 64,680 kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun.
Dokumen yang dikeluarkan oleh UNHCR, khususnya kad pelarian sering menjadi polemik dalam masyarakat.
Hakikatnya, kad tersebut hanya berfungsi sebagai pengesahan bahawa seseorang itu memerlukan perlindungan antarabangsa dan tidak boleh dihantar pulang ke negara asal yang berbahaya, selaras dengan prinsip non-refoulement.
Ia bukan dokumen rasmi negara, tidak memberi keistimewaan seperti lesen memandu, permit kerja atau kekebalan undang-undang. Malah, pelarian tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan boleh dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesalahan.
Kerajaan Malaysia, walaupun tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 tetap memikul tanggungjawab asas untuk melindungi semua individu dalam wilayahnya termasuk pelarian.




Comments