top of page

Pelarasan tarif air bukan isu politik, semua negeri bersetuju



Oleh: Helmi Mohd Foad


ANALISIS: Pagi ini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat pengumuman berkaitan pelarasan tarif bekalan air bersih bagi pengguna domestik di semua negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada awal Februari ini.


Boleh dikatakan semua hantaran atau flash berkaitan pengumuman ini di media sosial mendapat pelbagai bentuk reaksi. Bagi golongan netizen dan laskar siber pembangkang, berita ini sudah tentu dijadikan peluru untuk menyerang kerajaan dalam pelbagai bentuk mesej.


Pelarasan itu sendiri melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu yang dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif. Struktur dan komponen tarif air diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung serta Labuan dan ia akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.


Kenyataan SPAN menjelaskan pelarasan tarif tersebut tidak lagi boleh ditangguhkan demi untuk tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan yang dinikmati rakyat.


"Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022," kenyataan SPAN dipetik.


Fikir secara rasional kenaikan tarif air


Tiada siapa yang gemarkan sebarang berita berkaitan kenaikan harga ke atas apa saja bentuk barangan atau perkhidmatan konsumerisme. Namun adakah semua pihak boleh berfikir secara rasional terhadap sebarang langkah membabitkan pelarasan tarif air ini?


Langkah pelarasan itu sudah menjadi bahan kajian sejak sekian lama. Baik ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah atau pada waktu Pakatan Harapan mengambil alih kuasa pada 2018, dan kemudian ketika dikuasai Perikatan Nasional (PN) pada 2020 - 2022.


Perkara ini bertitik tolak daripada peningkatan kos yang besar dalam industri bekalan air bersih selain masalah kadar air tidak memberikan pendapatan (NRW) atau kebocoran yang tinggi akibat paip usang.


Orang ramai mahu perkhidmatan terbaik namun kos untuk menghasilkannya begitu menjerut semua operator air di negeri-negeri. Negeri yang paling kritikal ialah Selangor yang turut membekalkan air ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang kepadatan penduduknya cukup tinggi.


Selangor sering menjadi sasaran serangan pihak pembangkang tetapi hasil keberkesanan pengurusan Air Selangor, masalah tersebut berjaya ditangani dengan baik.


Justeru itu, jika diimbas kembali dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada November lalu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari sendiri sedar mengenai taktik pembangkang yang hanya menunggu masa untuk mengeksploitasi isu tersebut. Beberapa kali Ketua Pembangkang Azmin Ali cuba 'memerangkap' Amirudin agar beliau mengumumkan bila kenaikan tarif air akan berlaku.


Namun semua pihak perlu tahu bahawa sebarang pengumuman kenaikan tarif hanya akan dilakukan oleh SPAN setelah diputuskan di peringkat Kerajaan Persekutuan.


Kata Amirudin mana-mana negeri akan bersetuju dengan peningkatan tarif yang menjadi penyelesaian kepada peningkatan kos operasi yang ditanggung oleh syarikat konsesi.

"Mana-mana menteri yang bertanggungjawab untuk menguruskan air, sumber asli akhirnya akan bersetuju peningkatan tarif adalah sebahagian dari solusi," katanya dipetik.


Namun Selangor kekal meneruskan pemberian air percuma sejak tahun 2008 walau berdepan kos yang tinggi selepas melihat kemudahan itu memberi kebaikan kepada rakyat.


Negeri pembangkang setuju naik tarif air


Bagaimana pula dengan Kelantan, negeri yang ditadbir Pas sejak tahun 1990 yang dilaporkan masih terus berdepan dengan masalah bekalan air bersih hingga memerlukan dana besar daripada Pusat.


Sebab itu pendirian tentang pelarasan tarif turut menjadi pegangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini. Menteri Alam Sekitar dan Air dari Pas ketika itu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan antara kekangan yang dihadapi oleh syarikat atau operator pembekalan air bersih di seluruh negara adalah berkaitan tarif air.


"Isu-isu bekalan air ini sebenarnya isu yang berlaku di banyak negeri. Isu besarnya adalah berkaitan tarif air yang mana, di sesetengah negeri sudah 40 tahun tak pernah naik," katanya dipetik pada Julai 2022.


Begitu juga dengan Kedah turut terbeban dengan masalah bekalan air yang jika tiada sebarang pelarasan tarif akan lebih menyukarkan lagi syarikat operator melaksanakan sebarang usaha menaik taraf.


Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dipetik dari HarakahDaily pada November lalu berkata; "Kalau tarif air boleh diselaraskan, Alhamdulillah,".


Sanusi juga berkata, kali terakhir kenaikan tarif air di Kedah pada tahun 2010 sebanyak 10 sen.


Menurutnya selama 13 tahun Kedah menunggu kajian tarif air, sedangkan kerajaan negeri perlu membayar hutang kepada kerajaan Persekutuan selama 45 tahun.


"Dahulu setiap tahun (bayar) RM45 juta tetapi selepas proses migrasi bayaran tahunan berkurangan kepada RM35 juta setahun tetapi tempoh bayaran 45 tahun.


"Biar pun berlaku pengurangan RM35 juta setahun, namun kerajaan negeri perlu menyediakan sekurang-kurang RM4 juta setiap bulan untuk tujuan berkenaan," katanya dipetik


Menurutnya kenaikan tarif air akan memberi sedikit kelegaan kewangan kerajaan negeri untuk membayar semula hutang kepada kerajaan Persekutuan.


Isu kenaikan tidak boleh dipolitikkan


Jadi sama ada kerajaan atau pembangkang tidak boleh menggunakan isu pelarasan tarif air sebagai alat politik. Negeri ditadbir Kerajaan Perpaduan memerlukan pelarasan tarif begitu juga negeri yang ditadbir PN memerlukannya sebagai salah satu langkah untuk menyelesaikan program penggantian paip usang dan menaik taraf kemudahan loji rawatan sedia ada.


Apa yang diperlukan kerajaan ialah rakyat memahami keperluan kenaikan. Bagi Kerajaan Negeri mereka seharusnya menyambut baik saranan SPAN agar meneruskan program bantuan bersasar kepada rakyat yang kurang berkemampuan bagi mengurangkan beban mereka susulan pelarasan tarif air tersebut.


Paling penting ialah bagaimana negeri-negeri boleh memanfaatkan pelarasan tarif ini walaupun tidak sepenuhnya mampu menampung kos untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air terbaik untuk keseluruhan rakyat.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page