top of page

Pelantikan Rider Gate sebagai ejen pemungut ikut prosedur - JPJ

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 10, 2025
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Pelantikan anak syarikat Ramssol Group Bhd., Rider Gate Sdn. Bhd sebagai ejen pemungut adalah mengikut prosedur ditetapkan serta selaras dengan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).


Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pelantikan syarikat yang memenuhi syarat sebagai ejen pemungut adalah amalan biasa bertujuan memperluas akses perkhidmatan jabatan itu kepada orang awam.


"JPJ mempunyai beberapa ejen pemungut sah yang dilantik bagi menyediakan saluran tambahan perkhidmatan, termasuk POS Malaysia Berhad, PUSPAKOM Sdn. Bhd., MyEG Services Sdn. Bhd., Konsortium Multimedia Swasta Sdn. Bhd., TCSENS Sdn. Bhd. serta TNG Sdn. Bhd.


"Pelantikan pelbagai ejen ini bertujuan memperluaskan pilihan saluran kepada orang awam bagi mendapatkan perkhidmatan JPJ dengan lebih mudah dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan.

Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan beberapa pihak yang mempertikaikan pelantikan Rider Gate Sdn Bhd sebagai ejen pemungut baharu jabatan berkenaan.


Aedy Fadly sementara itu menegaskan, pelantikan ejen pemungut tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan dan tidak menjejaskan operasi serta fungsi aplikasi MyJPJ yang kekal sebagai platform rasmi kerajaan untuk urusan digital JPJ dan perkhidmatan sedia ada.


Beliau turut menegaskan komitmen jabatan itu untuk memastikan perkhidmatan yang cekap, selamat dan mudah diakses melalui pemantauan berterusan terhadap semua ejen dilantik, selain menjamin integriti data dan keselamatan transaksi selaras dengan agenda pendigitalan sektor awam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page