Oleh: Azuan Ab Rahman
Pelantikan Malaysia sebagai Presiden Assembly of Parties (AoP) Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) merupakan penghormatan besar kepada negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelantikan itu juga merupakan pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen utuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendirian tegas beliau terhadap isu rasuah, suatu fakta yang diketahui umum di seluruh dunia.
"Pelantikan ini bukan sahaja memberi ruang kepada Malaysia untuk menzahirkan komitmen dan kepimpinan negara dalam usaha pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa, bahkan satu amanah untuk membawa perubahan yang lebih bermakna dalam usaha sejagat memerangi rasuah," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM).
Azalina dilantik Presiden AoP IACA bagi sesi ke-13 dalam perhimpunan AoP yang diadakan di Vienna International Center, Vienna pada Rabu sekaligus mencipta sejarah memandangkan Malaysia buat julung kalinya diberi penghormatan memegang jawatan itu.
Ditubuhkan pada 2011 di Austria. Fungsi utama badan ini ialah sebagai pusat kecemerlangan dan penyelidikan antarabangsa bagi pembanterasan rasuah dan menjadi pusat latihan utama bagi kumpulan profesional terutamanya dari kalangan agensi-agensi pencegahan rasuah.
Sebagai presiden, Azalina akan memimpin Biro AoP serta keanggotaan IACA yang terdiri daripada 77 negara dan empat pertubuhan antarabangsa dalam pembentukan dasar dan strategi IACA untuk memperkukuh peranan akademi berkenaan dalam bidang pendidikan dan latihan antirasuah profesional.
Selain Azalina Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki turut dilantik semula sebagai anggota Board of Governors (BoG) IACA bagi sesi 2024-2027.
Sementara itu BHEUU, JPM menyifatkan pengiktirafan IACA kepada Malaysia menjadi pelengkap kepada pelbagai inisiatif anti rasuah yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk Strategi Nasional Antirasuah (NACS) 2024-2028, yang bertujuan untuk memerangi rasuah dan mempromosikan integriti, ketelusan dan akauntabiliti di pelbagai sektor.
Comments