Pelantikan Pengerusi KETENGAH: KEADILAN T'ganu nafi keluar kenyataan provokasi
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 1 min read

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu menafikan sekeras-kerasnya kenyataan palsu yang tular di media sosial mendakwa kononnya parti itu kesal dengan pelantikan Pengerusi BN Terengganu, Datuk Rozi Mamat sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Dalam satu kenyataan rasmi, MPN KEADILAN Terengganu menegaskan bahawa tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan negeri parti berkenaan berhubung pelantikan tersebut.
"MPN KEADILAN Terengganu menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang tular di media sosial kononnya Parti Keadilan Rakyat Terengganu kesal dengan pelantikan Datuk Rozi Mamat sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
"MPN KEADILAN Terengganu menegaskan bahawa tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan negeri berhubung perkara tersebut.
"Sebaliknya, kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Rozi atas pelantikan beliau dan berharap beliau dapat melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab demi kemajuan rakyat dan kawasan KETENGAH," katanya.
Pada masa sama, MPN turut menolak sebarang usaha atau kenyataan berunsur provokasi yang cuba memecahbelahkan hubungan baik antara Pakatan Harapan dan UMNO-BN di negeri itu.
Sebaliknya, kata kenyataan berkenaan, KEADILAN dan Kerajaan Perpaduan Terengganu komited untuk membina politik bersatu padu demi membela kebajikan rakyat.
"Kerjasama erat antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah bukti bahawa politik baharu berasaskan perpaduan, kestabilan, dan fokus kepada rakyat mampu menjadi alternatif sebenar untuk rakyat Terengganu.
"KEADILAN Terengganu kekal komited memperkukuh semangat perpaduan dan menolak sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian politik negeri," tambah kenyataan tersebut.
Untuk rekod, media sosial hari ini digemparkan dengan sebaran poster kononnya KEADILAN Terengganu mempersoalkan pelantikan Datuk Rozi sebagai Pengerusi KETENGAH yang dianggap sebagai 'kuota' jawatan UMNO-BN.





