Pelantikan Malaysia ke UNESCO bukti keyakinan global - Wanita KEADILAN Pahang
- Suara Keadilan

- Nov 9
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Pelantikan Malaysia sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO bagi penggal 2025–2029 disifatkan sebagai kejayaan besar yang membuktikan keyakinan dunia terhadap kemampuan negara mengangkat agenda pendidikan, sains, budaya dan komunikasi di peringkat global.
Ketua Wanita KEADILAN Pahang Sridayu Samsuri (gambar) berkata, pelantikan itu turut mencerminkan kepimpinan berkesan Menteri Pendidikan merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Fadhlina Sidek yang berjaya memperkukuh kempen negara melalui pendekatan diplomasi pendidikan yang konsisten dan berprinsip.
"Di bawah kepimpinan beliau, Malaysia menegaskan komitmen terhadap pendidikan inklusif, transformasi digital, keselamatan murid dan pemerkasaan guru. Nilai serta visi beliau menjadi asas keyakinan negara anggota memilih Malaysia ke lembaga berprestij ini.
"Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Malaysia, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia dan seluruh pasukan yang telah bekerja keras mencapai kejayaan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi kenyataan sama, Sridayu turut menegaskan bahawa mandat tersebut membuka peluang besar untuk mengangkat suara wanita, belia dan komuniti akar umbi dalam arus pembangunan global.
Justeru, pihaknya menyokong agenda nasional yang memanfaatkan pelantikan ini, termasuk memastikan dasar serta program pembangunan wanita selaras dengan dasar kerajaan dan inisiatif antarabangsa.
"Wanita KEADILAN Pahang menyeru agar komuniti wanita di negeri ini terus digalakkan menyertai projek yang menghubungkan pendidikan, budaya dan ekonomi kreatif.
"Generasi muda pula wajar didorong menyumbang kepada agenda global melalui pendidikan STEM, kesedaran warisan budaya serta transformasi digital, di samping mengarusperdanakan pendidikan inklusif untuk anak-anak B40, berkeperluan khas dan pelajar luar bandar," tambah beliau.









Comments