Pelantikan hakim libat tiga cabang, akan selesai segera secara baik
- Suara Keadilan
- Jul 15
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Isu pelantikan Ketua Hakim Negara akan diselesaikan dalam tempoh segera dan tidak perlu rakyat mengikut rentak pembangkang yang memperbesarkan isu tersebut
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran (gambar) berkata beliau yakin terhadap komitmen Perdana Menteri (PM) dan Kerajaan MADANI untuk memastikan pelantikan kehakiman bebas daripada sebarang campur tangan eksekutif.
Beliau juga berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Datuk Seri Anwar berhubung proses pelantikan hakim-hakim termasuk Ketua Hakim Negara dalam satu mesyuarat bersama Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) semalam.
Dalam mesyuarat itu, Yuneswaran berkata, pihaknya difahamkan bahawa satu penyelesaian serta kenyataan rasmi akan diumumkan dalam masa dua hingga tiga hari akan datang.
''Justeru, saya menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.
''Perlu kita ingat bahawa sistem demokrasi kita berpaksikan prinsip pemisahan kuasa antara tiga cabang utama iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.
''Setiap cabang perlu diberikan ruang untuk melaksanakan tanggungjawabnya secara bebas dan berdikari, tanpa gangguan atau campur tangan antara satu sama lain,'' katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di platform media sosial beliau.
Berkaitan dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular baru-baru ini, Yuneswaran berpandangan siasatan menyeluruh perlu dijalankan segera.
Jelasnya perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan soal keselamatan dokumen rasmi negara.
''Pertama, perlu disahkan sama ada mesyuarat tersebut benar-benar berlangsung atau tidak.
''Kedua, jika mesyuarat itu memang berlaku, maka keabsahan kandungan minit yang dibocorkan harus disiasat secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
''Namun, jika terbukti tiada mesyuarat tersebut diadakan, maka ini merupakan satu propaganda jahat yang sengaja direka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan harus dikenakan tindakan undang-undang,'' katanya.
Menyimpulkan perkara itu, Yuneswaran menegaskan bahawa keluhuran Perlembagaan, kebebasan institusi kehakiman, serta prinsip keadilan mesti terus dipertahankan dalam setiap aspek pentadbiran negara.
Beliau menambah, demokrasi hanya akan berkembang dengan sihat dan berkesan apabila semua cabang kuasa menghormati batas dan tanggungjawab masing-masing.
Untuk rekod, pelantikan Ketua Hakim Negara melibatkan tiga pihak utama iaitu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi mencadangkan nama, Perdana Menteri memberi nasihat kepada yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertuan Agong membuat pelantikan.
Ketiga tiga pihak mempunyai peranan dan tidak adil pembangkang menyalahkan PM semata mata sebagaimana berlaku hari ini.
Comments