
Pelantikan Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin sebagai Ketua Pengarah Kastam Malaysia yang baharu merupakan satu lagi pengiktirafan kepada wanita dalam memegang jawatan tinggi di negara ini.
Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin, pelantikan tersebut mencatat sejarah tersendiri kerana Anis Rizana merupakan wanita pertama memegang jawatan tertinggi dalam Jabatan Kastam Diraja Malaysia .
"Bagi Wanita KEADILAN pelantikan ini bukan sahaja suatu kebanggaan kepada kaum wanita seluruhnya, malah memperlihatkan pengiktirafan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kemampuan kaum hawa menggalas tugas penting dalam perkhidmatan awam.
"Baru beberapa hari sebelum ini, wanita Malaysia dirakamkan mencatat sejarah dalam dunia perundangan apabila Datuk Almalena Sharmila Johan dilantik sebagai Peguam Cara Negara dan Datuk Suzana Atan diumumkan sebagai Peguam Cara Negara II yang baharu, dan kini seorang lagi wanita menyusul membanggakan negara," katanya dalam kenyataan.
Menurut Noraini lagi, dengan tiga pelantikan diumumkan dalam tempoh tidak sampai seminggu itu maka petanda pengiktirafan terhadap golongan wanita kian terbentang di negara ini untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan
"(Dalam hal ini) Wanita KEADILAN yang dipimpin oleh YB Fadhlina Sidek, selain berbangga, akan terus memainkan peranan memberi galakan serta rangsangan agar lebih ramai kaum wanita berjaya dalam kerjaya masing-masing dari masa ke semasa selepas ini," katanya lagi.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Datuk Anis Rizana yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan sebagai Ketua Pengarah Kastam yang baharu bagi menggantikan Datuk Zazuli Johan yang bersara.
Datuk Anis Rizana berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan import eksport, penyelidikan dan pembangunan dasar, ekonomi, pengurusan serta kewangan.
Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun dengan jawatan pertama yang disandangnya sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan pada 1994.
Beliau berkulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Western Michigan University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia.