top of page

Pelanjutan khidmat Ketua Hakim Negara hak prerogatif Agong - AMK

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 30
  • 2 min read

ree

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat menegaskan bahawa isu pelanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara adalah hak prerogatif mutlak Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan, dan hal itu tidak wajar dijadikan polemik politik.


Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam AMK Malaysia, Khairul Naim Rafidi (gambar) berkata, pihaknya mengambil maklum keresahan masyarakat berhubung kemungkinan pelanjutan tempoh perkhidmatan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dijadual bersara wajib pada 2 Julai 2025, namun menekankan bahawa isu tersebut telah diperincikan secara jelas dalam Perlembagaan.


"Perkara 125(1) Perlembagaan memperuntukkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan memegang jawatan sehingga umur 66 tahun atau sehingga enam bulan selepas itu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.


"Ini adalah kuasa prerogatif Baginda yang tidak tertakluk kepada nasihat eksekutif," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Beliau turut merujuk kepada peruntukan Perkara 40(2) yang memperkukuh kedudukan ini apabila menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara Baginda dalam hal-hal tertentu atau mana-mana perkara lain yang disebut dalam Perlembagaan.


"Ini jelas membezakan proses pelanjutan dengan proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang dibuat mengikut nasihat Perdana Menteri seperti termaktub dalam Perkara 122B(1). Kedua-duanya adalah proses berbeza dari segi prinsip dan pelaksanaan," ujarnya.


Mengulas lanjut, Khairul Naim yang merupakan seorang pengamal undang-undang mengingatkan bahawa isu pelanjutan perkhidmatan Ketua Hakim Negara pernah timbul sebelum ini, seperti pada tahun 2007 melibatkan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang permohonannya tidak diperkenankan walaupun dipercayai disokong Perdana Menteri ketika itu.


Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat atau mencetuskan persepsi seolah-olah pelanjutan tempoh Ketua Hakim Negara bergantung semata-mata kepada kuasa eksekutif.


"Sebarang spekulasi atau kenyataan yang tidak berasaskan fakta hanya akan menjejaskan integriti institusi kehakiman dan menghakis keyakinan terhadap sistem perlembagaan negara," tegasnya.


AMK juga berharap sebarang keputusan rasmi mengenai pelanjutan tempoh perkhidmatan Tun Tengku Maimun dapat diumumkan dengan penuh berhemah, selaras dengan semangat serta prinsip Perlembagaan Persekutuan.


"AMK kekal komited mempertahankan integriti institusi kehakiman daripada sebarang tekanan politik dan gangguan terhadap prinsip pemisahan kuasa," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page