Pelancaran satelit UZMA SAT-1 komitmen kerajaan dalam sektor angkasa
- Suara Keadilan
- Jan 16
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Malaysia melangkah setapak lagi dalam sektor angkasa negara apabila satelit penderiaan jauh pertama miliknya UZMA SAT-1 selamat dilancarkan ke orbit pada pagi Rabu.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi satu kenyataan berkata, pelancaran satelit itu mencerminkan komitmen kerajaan melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk menyokong pembangunan sektor angkasa negara sekaligus merealisasi Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030).
Ia diharap menjadi pemangkin kepada pemain industri tempatan untuk memperkukuhkan potensi keupayaan dan kepakaran dalam teknologi angkasa pada masa hadapan.
"Kejayaan UZMA SAT-1 ini merupakan satu manifestasi kepada pelaksanaan Pelan Tindakan Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030) yang memacu penglibatan industri tempatan dalam sektor angkasa," menurut kenyataan itu.
UZMA SAT-1 dilancarkan pada jam 3.09 pagi waktu Malaysia di Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX.
Satelit beresolusi tinggi itu dilengkapi kamera berteknologi tinggi dengan sensor multi-spectral band, termasuk sensor RGB (merah, hijau, biru) dan inframerah dekat yang mampu memberikan data terperinci untuk pelbagai kegunaan.
Ia dijangka mampu menyumbang kepada peningkatan pemantauan permukaan bumi khususnya dalam aspek keselamatan, pertahanan negara dan pengurusan keterjaminan makanan.
"Penggunaan infrastruktur negara sedia ada melalui kerjasama strategik dalam aspek pengoperasian satelit berkenaan dijangka dapat mengoptimumkan lagi pengurusan imej berkaitan Malaysia serta mampu meningkatkan kepelbagaian penggunaannya.
"Berdasarkan dasar, pelan tindakan dan perundangan berkaitan aktiviti angkasa yang telah disediakan oleh kerajaan. Seharusnya kejayaan pelancaran satelit UZMA SAT-1 ini menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan ekosistem angkasa negara yang lebih maju demi manfaat kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara," tambah MOSTI.
Comments