top of page

Pelancaran Rakan Muda: 'Anak muda bebas tentukan masa hadapan'



Pelancaran Rakan Muda berimej baharu hari ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dektar) UKM, Bangi, memberi satu hala tuju yang jelas buat golongan belia.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pelancaran Rakan Muda versi baharu itu menekankan bahawa kerajaan tidak berminat meleteri anak muda seperti mana pendekatan lama, sebaliknya memberi mereka kebebasan menentukan masa hadapan sendiri dengan bimbingan minimum daripada kerajaan.


"Apa bezanya? Kita dalam mendepani masalah anak muda hari ini bukan sekadar beri nasihat, teguran kerana anak muda lemas dengan leteran orang tua.


"Dia mahu supaya kementerian, kerajaan bagi ruang kepada dia. Program apa nak kita adakan, nafas baru apa nak kita adakan, biar anak muda sendiri putuskan.


"Ini pendekatan Malaysia Madani sekarang. Kita tak mahu pemikiran lapuk yang lama. Kita tak mahu pemikiran yang terkongkong jumud. Kita tak mahu pemikiran yang memecahbelahkan. Kita adalah saudara, baik keturunan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan," katanya.


Menurut Anwar lagi, Malaysia yang telah enam dekad merdeka perlu memberikan baton kepada kepimpinan muda untuk mewarisi negara dan menjadikan ia hebat di dunia.


Beliau berkata, pemikiran golongan tua dengan politik pecah dan perintah yang berjaya suatu ketika dahulu tidak boleh lagi digunapakai oleh anak muda kerana memberi banyak kerosakan kepada perpaduan rakyat berbilang kaum.


"Yang akan tentukan bukan orang tua yang lapuk pemikiran, nak pecah belahkan rakyat. Yang akan tentukan masa depan ini aman, kita bersaudara, bekerja menyelamatkan bangsa dan negara, adalah anak anak muda sendiri.


"Ingat saya sebagai bapa, ini saranan saya yang serius. Ini saya lega kerana saya dengar sendiri suara, semangat dan idealisme anak muda.


"Rakan Muda ini satu program untuk memberi ruang anak anak memilih, tetapi kerangka besarnya apa? Kerangka besarnya persiapan suatu generasi yang punyai cita cita murni. Punyai nilai kemanusiaan. Nilai ihsan yang hormat satu sama lain. Yang senang dengan kebaikan, persaudaraan, kemajuan, teknologi baru, senang dengan muzik dan hip hop.


"Benci dengan rasuah, benci hipokrasi dan salahguna kuasa. Benci orang menghina kaum kaum lain," katanya disambut tepukan bergemuruh daripada lebih seribu anak muda yang hadir di dewan Dektar itu.


PM dalam pada itu yakin dengan pasukan di Kementerian Belia dan Sukan yang boleh menjadi jurubicara dan menyampaikan suara anak muda dalam Jemaah Menteri dan menggariskan dasar yang betul untuk diikuti golongan muda.


"Dengan Kerajaan Perpaduan dengan falsafah Malaysia Madani, percayalah saya akan beri apa jua sokongan yang perlu kepada anak muda.


"Yang saya minta saudara peka dalam dunia yang mencabar, media sosial yang menggugat. Saudara harus buat pilihan yang baik. Kerana satu kesilapan, satu generasi akan menghukum negara kita ke lembah kehinaan. Satu kekuatan, bangkit generasi baru ini, percayalah masa depan Malaysia muncul sebagai negara paling hebat di rantau ini," ujar Anwar.


PM juga pada ucapan itu mengambil kesempatan untuk mengumumkan berita baik bahawa pemberian bantuan one off ebelia RM200 akan mula diagihkan pada 26 Jun.


"Satu berita baik, terutama sekitar umar 18 - 20 tahun yang hadir. Mulai 8 pagi esok, saudara, anak anak, seperti mana saya janjikan bila Wawa tanya di Langkawi tempoh hari, 26 Jun ini akan dimasukkan dana RM200 setiap orang.


"Gunakanlah dengan cara sebaik mungkin untuk kebaikan dan jangan lupa kita ini manusia, sama ada muda atau dewasa," katanya lagi.


Anwar juga tidak lupa untuk mengucapkan penghargaan kepada Menteri pelopor awal Rakan Muda pada 1994, iaitu Datuk Seri Ghani Othman.


Beliau berharap Rakan Muda akan terus menjana nilai nilai positif buat golongan belia di negara ini.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page